TOKO ALHAROMAIN
MENJUAL PAKAIAN JADI
D 54-D55 AND B19-B20
PASAR TANJUNG MOJOKERTO
|
Kandungan Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7 |
|
Bahagian B:
Keutamaan
Golongan
Syi‘ah al-Rafidhah memiliki sikap yang melampau dalam mencela para
sahabat radhiallahu 'anhum, khasnya terhadap tiga orang Khalifah
al-Rasyidin iaitu al-Shiddiq, al-Faruq dan Zu
al-Nuraian. Celaan mereka tertumpu kepada tuduhan sesat sehinggalah
kepada tuduhan mereka – para sahabat – telah keluar dari Islam.
Atas
dasar ini maka menjadi kewajipan kami untuk menyampaikan kepada para pembaca
sekalian keutamaan para sahabat radhiallahu 'anhum serta kedudukan,
kemuliaan dan kebenaran mereka sebagaimana yang diiktiraf oleh Allah dan
Rasul-Nya. Hal ini telah kami lakukan dalam Bahagian Pertama buku ini,
alhamdulillah. Seterusnya kami akan menerangkan keutamaan para sahabat
secara khusus, khasnya keutamaan Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar
al-Khaththab dan ‘Utsman ibn ‘Affan, diikuti dengan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu
'anhum.
Pertama: Keutamaan Abu Bakar al-Shiddiq
Beliau
adalah ‘Abd Allah bin ‘Utsman Abu Bakar al-Shiddiq bin Abi Quhafah
al-Quraisyi sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang
paling utama serta bertaraf menteri kepada baginda. Beliau merupakan orang
yang kedua bersama Rasulullah di dalam gua serta menemani baginda ketika
hijrah. Rasulullah telah memperisterikan anak beliau iaitu A’isyah radhiallahu
‘anha yang merupakan di antara isteri yang paling disayangi oleh baginda.
Beliau merupakan salah seorang dari 10 orang sahabat yang dijamin masuk
syurga serta Khalifah al-Rasyidin pertama yang mana
kepimpinannya telah menguatkan agama serta membawa kemenangan kepada Islam.
Beliau adalah sahabat yang dikebumikan jasadnya di sisi Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam di Raudhah yang suci.
Abu
Bakar radhiallahu ‘anh dilahirkan dua tahun setelah berlakunya
peristiwa tentera bergajah dan menjadi teman setia Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam sejak sebelum baginda diutuskan menjadi Rasul.
Abu
Bakar radhiallahu 'anh pernah dilantik memimpin rombongan haji.
Beliaulah juga orang yang dilantik oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam untuk menggantikan tempat baginda sebagai imam solat sewaktu
baginda sakit yang membawa kepada kewafatannya. Berdasarkan perlantikan ini,
para sahabat radhiallahu ‘anhum bersepakat bahawa Abu Bakar radhiallahu
'anh merupakan khalifah yang hak untuk menggantikan tempat Rasulullah
bagi memimpin umat setelah pada awalnya berlaku perselisihan siapakah yang
sepatutnya menjadi khalifah.
Sejak
zaman Jahiliyyah lagi Abu Bakar radhiallahu ‘anh terkenal
dengan sifat dermawannya. Beliau pernah mendermakan sebanyak 40 ribu dirham
untuk kepentingan Islam serta membebaskan para hamba. Ini terbukti dimana
beliau telah membebaskan 7 orang hamba yang mengalami penyiksaan kerana
memeluk Islam yang di antaranya adalah Bilal Ibn Rabah dan Amir bin Fuhairah radhiallahu
'anhuma. Mereka merupakan golongan Islam yang lemah serta tidak berdaya
sehingga dibebaskan dari perhambaan menerusi tangan Abu Bakar.
Kemuliaan akhlak serta sifat amanah yang ada pada diri Abu Bakar menjadi
ukuran oleh masyarakat sehingga 5 orang tokoh Quraisy telah memeluk Islam
kerananya. Mereka, yang kesemuanya merupakan sahabat utama yang dijamin masuk
syurga, adalah ‘Utsman, Talhah, al-Zubair, Sa‘ad bin Abi Waqqas serta ‘Abd
al-Rahman bin ‘Auf radhiallahu ‘anhum.
Apabila
kaum Muslimin mengalami pelbagai tekanan serta penindasan daripada kaum kafir
Quraisyh di Kota Mekah maka Abu Bakar radhiallahu ‘anh telah berazam
untuk berhijrah sebagaimana kaum Muslimin lainnya ke Habsyah (Etophia).
Apabila beliau keluar dengan keluarganya, beliau telah bertemu dengan Ibn
Daghinah (ابن الدغنة) seorang ketua bagi kaumnya. Dia bertanya kepadanya: “Ke
manakah kamu wahai Abu Bakar?” Beliau menjawab: “Aku telah dihalau oleh
kaumku, maka aku hendak berjalan di bumi ini dan mencari tempat untuk
menyembah Tuhanku!” Berkata Ibn Daghinah: “Engkau tidak patut dihalau, engkau
banyak membantu kaummu, suka menghubungkan silaturahim dan sentiasa menolong
orang yang lemah. Kembalilah engkau, aku akan menjadi pelindung bagimu.
Sembahlah Tuhanmu di negerimu.”
Maka
kembalilah Abu Bakar berserta Ibn Daghinah ke Mekah lalu bertemu dengan para
pemimpin Quraish. Berkata Ibn Daghinah kepada mereka: “Abu Bakar tidak
patut keluar dari Mekah. Apakah patut kamu menghalau orang yang suka membantu
orang, suka menghubungkan silaturahim, serta sentiasa membantu orang yang
lemah?” Jawab para pemimpin Quraisyh: “Suruh Abu Bakar beribadat menyembah
Tuhannya di rumahnya sahaja, kami tidak ingin dia menunjukkan amalannya
kepada orang-orang kami. Dia bebas buat apa sahaja di rumahnya, membaca
al-Qur’an dan sebagainya.”
Maka
Abu Bakar radhiallahu ‘anh membina sebuah masjid di halaman rumahnya.
Di situlah dia bersembahyang, membaca al-Qur’an sehingga terisak-isak
mengeluarkan air mata. Maka ramailah kaum Quraisy serta anak-anak mereka
datang untuk memperhatikan Abu Bakar beribadat. Mereka berasa hairan serta
kagum dengan apa yang dilakukan oleh beliau, yakni beribadat dengan penuh
khusyuk. Ini akhirnya membimbangkan para pemimpin Quraisyh. Maka apabila Ibn
Daghinah memberitahunya akan keresahan para pemimpin Quraisyh itu Abu Bakar
berkata: “Aku tidak meminta perlindungan itu, cukuplah aku dengan
perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala.”
Kisah
di atas dirakamkan dalam Shahih al-Bukhari serta di dalam kitab-kitab
hadis lainnya.
1 Abu
Bakar Beriman Tanpa Keraguan Mahupun Penangguhan
Di
antara kelebihan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu 'anh ialah
apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyeru seseorang
kepada Islam, orang tersebut akan merasa ragu-ragu atau meminta tangguh untuk
berfikir terlebih dahulu. Abu Bakar terkecuali daripada sikap seperti ini,
beliau tidak sedikitpun berasa ragu mahupun meminta tangguh untuk berfikir
terlebih dahulu. Dengan itu beliaulah lelaki pertama yang memeluk Islam yang
sanggup mengorbankan diri serta hartanya untuk Islam.
Salah
seorang sahabat, Abu Darda’ radhiallahu ‘anh pernah menceritakan: Aku
sedang duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lalu tiba-tiba
muncullah Abu Bakar sambil menjinjing hujung pakaiannya hingga terlihat
lututnya. Maka Nabi berkata: “Sesungguhnya teman kamu ini sedang kesal maka
berilah salam atasnya.” (Setelah itu) Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah,
antara aku dan (‘Umar) Ibnu al-Khaththab terjadi perselisihan, maka aku
segera mendatanginya untuk meminta maaf, aku mohon kepadanya agar memaafkan
aku namun dia enggan menerima permohonanku. Maka kerana itu akan datang
mengadapmu sekarang.”
Rasulullah
menjawab: “Semoga Allah mengampunimu wahai Abu Bakar” (baginda mengulanginya
sebanyak tiga kali). Tidak lama selepas itu ‘Umar menyesal akan perbuatannya
dan mendatangi rumah Abu Bakar sambil bertanya: “Apakah di dalam ada Abu
Bakar?” Namun keluarganya menjawab: “Tidak.” ‘Umar segera mendatangi
Rasulullah sementara wajah Rasulullah kelihatan merah kerana marah
sehinggakan Abu Bakar (yang masih berada di sisinya) merasa kasihan terhadap
‘Umar. Lalu Abu Bakar memohon sambil duduk di atas kedua lututnya: “Wahai
Rasulullah, Demi Allah sebenarnya akulah yang bersalah” (diulanginya sebanyak
dua kali). Maka Rasulullah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ بَعَثَنِي إِلَيْكُمْ
فَقُلْتُمْ: كَذَبْتَ. وَقَالَ: أَبُو بَكْرٍ: صَدَقَ. وَوَاسَانِي بِنَفْسِهِ
وَمَالِهِ فَهَلْ أَنْتُمْ تَارِكُوا لِي صَاحِبِي؟
Sesungguhnya
aku telah diutus oleh Allah kepada kamu namun kamu sekalian mengatakan,
“Engkau pendusta!” Sementara Abu Bakar berkata: “Engkau benar!” Setelah itu
dia membelaku dengan seluruh jiwa dan hartanya. Lalu apakah kamu akan
mengabaikan sahabatku ini?
Setelah
itu Abu Bakar tidak pernah diganggu lagi.[2]
Hadis
di atas dengan jelasnya menunjukkan kelebihan Abu Bakar radhiallahu
‘anh melebihi keseluruhan para sahabat yang lain. Ini disebabkan
besarnya usaha beliau terhadap Islam sehingga sanggup mengorbankan dirinya
serta hartanya di saat Islam menerima tekanan yang paling hebat di awal
perkembangannya sehinggakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda berkenaan sahabat kesayangannya itu: “Apakah kamu akan
mengabaikan sahabatku ini?” Penetapan khusus terhadap
kelebihan Abu Bakar radhiallahu ‘anh akan diterangkan seterusnya
berdasarkan ketetapan al-Qur’an, insha-Allah. Begitu juga dengan
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan sanad yang sahih
dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang Abu
Bakar: “Janganlah kamu memaki sahabatku…” hingga akhirnya.
2
Pembelaan Abu Bakar Ke Atas Rasulullah
Di
antara kelebihan Abu Bakar radhiallahu ‘anh adalah pembelaan beliau
terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda
dianiaya oleh kaum kafir Quraisyh pada saat awal perkembangan Islam. Ketika
itu Rasulullah serta para sahabat menerima ujian yang sangat hebat akibat
ditindas serta ditekan oleh golongan Musyrikin. Rasulullah sendiri telah
dianiaya sehingga disakiti jasad baginda. Urwah bin al-Zubair radhiallahu
'anh berkata: “Aku pernah bertanya kepada ‘Abd allah bin ‘Amr tentang
perbuatan kaum Musyrikin yang paling menyakitkan Rasulullah.” Maka dia
berkata: “Aku pernah melihat Uqbah bin Abi Mu‘aith (عقبق
بن أبي معيط) –
semoga Allah melaknat dia - mendatangi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang
sedang solat, maka Uqbah melilit leher Nabi dengan serban miliknya dan
mencekik sekeras-kerasnya. Lalu datanglah Abu Bakar membela Nabi dan
melepaskan ikatan tersebut sambil berkata: “Apakah kamu akan membunuh seorang
lelaki kerana dia menyatakan, Tuhanku ialah Allah, padahal dia telah datang
kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu?”[3]
Hadis
ini menunjukkan keutamaan khusus kepada Abu Bakar radhiallahu ‘anh
dimana tiada sesiapa yang menolong Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
ketika itu kecuali beliau.
3 Abu
Bakar Sahabat Yang Paling Dermawan
Sesungguhnya
Abu Bakar radhiallahu ‘anh merupakan sahabat Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam yang paling banyak menderma dengan kerelaan hatinya
dibandingkan dengan para sahabat selainnya. Beliau juga merupakan orang yang
paling banyak membantu baginda dari segala sudut sehinggakan baginda
menjadikannya teman setia serta saudara baginda berbanding para sahabat
lainnya.
‘Umar
al-Khaththab radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam menyuruh kami bersedekah. Ini bertepatan dengan harta
yang ada pada aku. Aku berkata: “Jika satu hari aku akan menang di atas Abu
Bakar, maka hari inilah aku akan menang atas beliau.” Lalu aku datang dengan
setengah harta aku, lalu Rasulullah bertanya: “Apa yang kamu tinggalkan untuk
ahli keluarga kamu ?” Aku menjawab: “Sepertiga.” Lalu datang pula Abu Bakar membawa seluruh harta yang ada padanya.
Maka bertanya Rasulullah: “Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk
ahli keluarga engkau ?” Abu Bakar menjawab: “Aku tinggalkan untuk
mereka Allah dan Rasul-Nya.” Berkata Umar: “Aku memang tidak akan menang di
atas Abu Bakar sesuatupun selama-lamanya.”[4]
Abu
Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah berkata:
إِنَّ مِنْ أَمَنِّ النَّاسِ عَلَيَّ فِي
صُحْبَتِهِ وَمَالِهِ أَبَا بَكْرٍ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً غَيْرَ
رَبِّي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ وَمَوَدَّتُهُ.
Sesungguhnya
manusia yang paling mententeramkan atas diriku
di dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, dan jikalau aku
mengambil seorang kekasih selain Tuhanku, nescaya Abu Bakarlah yang aku ambil
sebagai kekasih, namun dia adalah saudaraku dan sahabatku.[5]
A’isyah
radhiallahu ‘anha berkata bahawa Abu Bakar telah menginfakkan kepada
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebanyak 40,000 dirham.[6] Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menjelaskan bahawa
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
مَا نَفَعَنِي مَالٌ قَطُّ مَا نَفَعَنِي مَالُ أَبِي بَكْرٍ.
Tidak ada harta yang bermanfaat kepada aku
sebagaimana harta Abu Bakar telah memberi manfaat kepada aku.[7]
4 Seruan
Memasuki Syurga Disebabkan Keutamaan Abu Bakar
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ مِنْ شَيْءٍ مِنْ
الأَشْيَاءِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ دُعِيَ مِنْ أَبْوَابِ يَعْنِي الْجَنَّةَ:
"يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ". فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ
الصَّلاَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ
دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ
بَابِ الصَّدَقَةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ
الصِّيَامِ وَبَابِ الرَّيَّانِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مَا عَلَى هَذَا الَّذِي
يُدْعَى مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ وَقَالَ هَلْ يُدْعَى مِنْهَا كُلِّهَا أَحَدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ
وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ يَا أَبَا بَكْرٍ.
Barangsiapa
yang menginfakkan sesuatu dari dua yang dimilikinya di jalan Allah nescaya
akan diseru dari pintu-pintu syurga: “Wahai hamba Allah inilah kebaikan.”
Maka barangsiapa termasuk ahli sembahyang maka dia akan dipanggil dari pintu
sembahyang. Barangsiapa termasuk golongan yang suka berjihad maka dia akan
dipanggil dari pintu jihad, barangsiapa yang suka bersedekah maka dia akan
dipanggil dari pintu sedekah dan barangsiapa yang suka berpuasa maka akan
dipanggil dari pintu puasa dan dari pintu al-Rayan.
Maka
Abu Bakar bertanya: “Bagaimana jika seseorang harus dipanggil dari setiap
pintu, dan apakah mungkin seseorang dipanggil dari setiap pintu wahai
Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Ya, dan aku berharap agar engkau wahai Abu
Bakar termasuk salah seorang dari mereka.”[8]
Himpunan
amalan yang baik akhirnya akan menghasilkan ganjaran syurga kepada
pengamalnya. Di antara para sahabat yang terhimpun pada dirinya segala amalan
yang baik ialah Abu Bakar radhiallahu 'anh. Sebagaimana yang
diharapkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar
pada Hari Akhirat nanti akan dipanggil oleh semua pintu syurga disebabkan
pelbagai amalan yang dilakukan olehnya.
Kepelbagaian
amalan yang dilakukan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh merupakan satu
kebiasaan yang dilakukannya dalam sehari. Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam pernah bertanya:
مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا؟
قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ تَبِعَ
مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ
أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ:
فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. فَقَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا اجْتَمَعْنَ فِي
امْرِئٍ إِلاَّ دَخَلَ الْجَنَّةَ.
“Siapakah
di antara kamu yang berpuasa pada pagi hari ini?” Abu Bakar menjawab: “Saya.”
Rasulullah bertanya: “Siapakah yang pada hari ini mengiringi jenazah?” Abu
Bakar menjawab: “Saya.” Rasulullah bertanya: “Siapakah yang pada hari ini
memberi makan kepada seorang miskin?” Abu Bakar menjawab: “Saya.” Rasulullah
bertanya lagi: “Siapakah di antara kamu pada hari ini yang mengunjungi orang
sakit?” Abu Bakar menjawab: “Saya.” Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam akhirnya bersabda: “Tiada terkumpul semua itu pada seseorang kecuali
dia akan masuk syurga.”[9]
Demikianlah
terhimpunnya pada diri Abu Bakar radhiallahu 'anh amalan-amalan yang
besar dalam satu hari. Sifat ini menghampiri akhlak para Nabi sebagaimana
firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
إِنَّهُمْ كَانُوا
يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا
لَنَا خَاشِعِينَ
Sesungguhnya
mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa
berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula
sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.
[al-Anbiya’ 21:90]
Adapun
sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tiada terkumpul semua
itu pada seseorang kecuali dia akan masuk syurga” , maka berkata
al-Nawawi, berkata al-Qadhi ‘Iyadh:[10]
Maknanya memasuki
syurga tanpa hisab mahupun hukuman atas apa-apa kesalahan disebabkan oleh
keimanan semata-mata dan dengan adanya limpahan kurnia dari Allah Subhanahu
wa Ta‘ala.
5 Sambutan
Ahli Syurga Untuk Abu Bakar
Di
antara kelebihan Abu Bakar radhiallahu 'anh ialah sesungguhnya para
ahli syurga akan menyambutnya ketika beliau memasuki syurga kelak. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
يَدْخُلُ الْجَنَّة رَجُلٌ فَلاَ يَبْقَى
أَهْلُ دَارٍ وَلاَ أَهْلُ غُرْفَةٍ إِلاَّ قَالُوا: مَرْحَباً مَرْحَباً
إلَيْنَا إلَيْنَا. فقال أبو بكر: يَا رَسُولَ الله مَا تَوَى عَلَى هَذَا
الرَّجُلِ فِي ذَلِكَ الْيَومِ. قال: أَجَلْ وَأَنْتَ هُو يَا أَبَا بَكْرٍ.
Akan memasuki syurga seorang lelaki, maka tiada orang yang di rumah mahupun
di bilik (di dalam syurga tersebut) melainkan mereka berkata: “Selamat
datang, selamat datang.” Maka berkata Abu Bakar: “Wahai Rasulullah, (sungguh
bahagia) lelaki tersebut sehingga tidak akan hilang serta musnah pada hari
tersebut.” Rasulullah meneruskan: “Sudah tentu dan lelaki tersebut adalah
engkau wahai Abu Bakar.”[11]
6 Abu Bakar Terpelihara Daripada
Memasuki Neraka
Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam menggelar Abu Bakar sebagai al-Shiddiq
(yang benar) dan Allah memelihara beliau daripada api neraka. Anas bin
Malik radhiallahu ‘anh berkata bahawa Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah berada di atas bukit Uhud bersama Abu Bakar,
‘Umar dan ‘Utsman, lalu baginda bersabda:
اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ
وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ.
Tetaplah
kamu wahai Uhud kerana di atasmu ada seorang Nabi, seorang yang jujur dan dua
orang lelaki yang mati syahid. Sesungguhnya yang berada
bersama baginda di atas bukit Uhud ketika itu ialah Abu Bakar, ‘Umar dan
serta ‘Utsman, ketiga-tiga mereka adalah Khulafa al-Rasyidin. Hadis
ini terdapat di dalam kitab sahih.[12]
Hakim
bin Sa‘ad berkata, saya mendengar ‘Ali radhiallahu 'anh berkata: “Allah
menurunkan nama Abu Bakar dengan sebutan al-Shiddiq dari langit.”[13] Gelaran al-Shiddiq memiliki kedudukan yang
tinggi di dalam Islam dan dikatakan, ia memiliki kedudukan yang lebih tinggi
daripada al-Wilayah.[14] Keutamaan dan kemuliaan tersebut sahaja sudah cukup
buat Abu Bakar radhiallahu ‘anh. Ibn Zubair radhiallahu 'anh berkata,
nama Abu Bakar adalah ‘Abd Allah bin ‘Utsman. Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
أَنْتَ عَتِيقُ اللهِ مِنَ النَّارِ.
7 Abu
Bakar Adalah Sebaik-Baik Sahabat Dan Pemimpin Sahabat Yang Lain
Para
sahabat radhiallahu 'anhum berpandangan bahawa Abu Bakar radhiallahu
‘anh adalah sebaik-baik sahabat, pemimpin mereka serta orang yang paling
mengasihi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Pandangan ini turut
diberi oleh ‘Ali serta ‘Umar radhiallahu ‘anhuma.
Muhammad
bin al-Hanafiyah radhiallahu ‘anh berkata:
قُلْتُ لأَبِي أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ بَعْدَ
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ. قُلْتُ
ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ ثُمَّ عُمَرُ. وَخَشِيتُ أَنْ يَقُولَ عُثْمَانُ قُلْتُ ثُمَّ
أَنْتَ؟ قَالَ مَا أَنَا إِلاَّ رَجُلٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ.
Aku
bertanya kepada ayahku – yakni ‘Ali bin Abi Thalib – siapa manusia yang
paling baik setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Beliau menjawab:
“Abu Bakar.” Kemudian aku bertanya lagi, siapa setelahnya? Beliau menjawab:
“‘Umar.” Aku takut jika dia menyebut ‘Utsman sesudahnya, maka kukatakan:
“Setelah itu pasti anda.” Namun beliau menjawab: “Aku hanyalah salah seorang
dari kaum Muslimin.”[16]
‘Umar radhiallahu ‘anh
pernah berkata: “Abu Bakar adalah orang yang paling dikasihi Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam dan di kalangan kami beliau adalah orang yang
terbaik dan sayyid (tuan) kami.”[17]
Maka
perhatikanlah wahai para pembaca sekalian betapa insafnya para sahabat serta
rendah diri mereka kepada penyaksian terhadap kebaikan serta kemuliaan
sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Sehinggakan ‘Ali radhiallahu
‘anh yang dikenali dengan pelbagai keutamaan dan kemuliaan dengan rendah
hati telah berkata kepada anaknya: “Aku ini hanyalah
salah seorang dari kaum Muslimin.” Selain itu ‘Ali juga turut
memuji Abu Bakar dan ‘Umar radhiallahu 'anhuma.
Perbandingkanlah
dengan pendirian golongan Syi‘ah al-Rafidhah yang berkata: “Sesungguhnya dia (Ali) musuh kepada mereka berdua serta
berlepas diri daripada mereka berdua.” Ini adalah ucapan yang
dusta lagi palsu.
Setelah
pujian ‘Ali radhiallahu ‘
‘Amr
bin al-Ash radhiallahu ‘anh berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَهُ عَلَى جَيْشِ ذَاتِ السَّلاَسِلِ فَأَتَيْتُهُ
فَقُلْتُ أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قَالَ عَائِشَةُ. قُلْتُ مِنْ
الرِّجَالِ؟ قَالَ أَبُوهَا. قُلْتُ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ عُمَرُ. فَعَدَّ
رِجَالاً.
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam mengutusnya untuk memimpin pasukan Dzatul
Salasil. Aku (‘Amr) menemui beliau dan bertanya: “Siapakah orang yang paling
engkau cintai?” Baginda menjawab: “A’isyah.” Aku bertanya lagi: “Siapakah di
kalangan kaum lelaki?” Baginda menjawab: “Ayahnya (Abu Bakar).” Aku bertanya
lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “‘Umar.” Kemudian baginda menyebut
nama beberapa lelaki lain.[18]
Kenyataan
di atas tidak menafikan ‘Ali dan Fathimah radhiallahu 'anhuma sebagai
dua orang yang turut dicintai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Hanya sahaja kecintaan Rasulullah terhadap ‘Ali dan Fathimah
dilihat dari beberapa sudut yang lain berbanding Abu Bakar dan ‘Umar
sebagaimana yang akan diterangkan seterusnya di dalam bab Keutamaan ‘Ali
bin Thalib.
8 Pujian
Allah Ke Atas Abu Bakar Di Dalam al-Qur’an
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala turut memuji Abu Bakar radhiallahu 'anh di
dalam al-Qur’an atas sifat kedermawannya. Firman Allah:
وَلا يَأْتَلِ أُولُو
الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى
وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا
وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ
رَحِيمٌ
Dan
janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu
bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang
miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah. Sebaliknya
hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu.
Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah
Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. [al-Nur 24:22]
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala menerusi ayat tersebut menyuruh Abu Bakar radhiallahu
‘anh supaya meneruskan kebaikan yang dilakukannya. Ini berlaku setelah
beliau bercadang untuk menghentikan bantuannya kepada Misthah kerana terlibat
menuduh A’isyah radhiallahu 'anha melakukan perbuatan sumbang. Ayat di
atas menunjukkan kelebihan serta kedudukan tinggi yang dimiliki oleh Abu
Bakar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala tanpa wujud apa-apa keraguan
sama sekali.
9 Penghijrahan
Abu Bakar Bersama Rasulullah
Di
antara kelebihan yang menunjukkan ketinggian serta keagungan Abu Bakar radhiallahu
‘anh ialah peranan beliau berbanding lain-lain sahabat untuk menemani
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam peristiwa hijrah. Allah Subhanahu
wa Ta‘ala memilih beliau untuk menemani baginda sebagaimana firman-Nya:
إِلا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ
الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ
لِصَاحِبِهِ لا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ
عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ
كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ
حَكِيمٌ
Kalau
kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun
menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari
negerinya Makkah) sedang dia (Muhammad) salah seorang dari dua (sahabat)
semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia (Muhammad) berkata kepada
sahabatnya (Abu Bakar):
“Janganlah engkau
berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan
semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan
bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan
seruan (syirik) orang-orang kafir ke bawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan
Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:40]
Ayat
di atas merupakan bukti paling besar yang mengumpulkan kelebihan Abu Bakar al-Shiddiq
radhiallahu ‘anh. Kami akan menyimpulkan apa yang dinyatakan oleh
kebanyakan ulama’ tafsir, misalnya Fakhr al-Razi serta selainnya tentang
pengertian ayat tersebut:[19]
Pertama:
Hijrah
merupakan satu peristiwa yang amat besar dalam sejarah Islam. Ia adalah satu
peristiwa yang paling merbahaya selama Rasulullah diutus menjadi seorang
Rasul dan paling penting dalam menjamin kejayaan dakwah Islam. Dalam semua
kebesaran, bahaya dan kepentingan ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam tidak mempercayai seorangpun untuk menemaninya selain Abu Bakar radhiallahu
‘anh.
Kedua:
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan memilih seorang teman untuk
berhijrah melainkan apa yang dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Yang dipilih oleh Allah ialah Abu Bakar radhiallahu 'anh. Ini
merupakan kelebihan Abu Bakar yang mengatasi para sahabat Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam yang lain, radhiallahu 'anhum.
Ketiga:
Abu
Bakar radhiallahu 'anh bukan sahaja menemani Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam tetapi juga mengeluarkan hartanya untuk disedekahkan
demi menjamin kejayaan hijrah tersebut. Rasulullah redha akan apa yang
dikorbankan oleh Abu Bakar sehingga baginda pernah bersabda:
إِنَّ مِنْ أَمَنِّ النَّاسِ عَلَيَّ فِي
صُحْبَتِهِ وَمَالِهِ أَبَا بَكْرٍ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً غَيْرَ
رَبِّي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ
وَمَوَدَّتُهُ.
Sesungguhnya
manusia yang paling mententeramkan atas diriku
di dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, dan jikalau aku
mengambil seorang kekasih selain Tuhanku, nescaya Abu Bakarlah yang aku ambil
sebagai kekasih, namun dia adalah saudaraku dan sahabatku.[20]
Keempat:
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala telah menyebut perihal Abu Bakar yang menemani
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam al-Qur’an.
Sesungguhnya al-Qur’an al-Adzim merupakan Kalam Allah Subhanahu wa
Ta'ala yang sempurna sifatnya. Di dalamnya terkandung pujian dan celaan.
Tidak akan ditemui pujian kepada seseorang (selain rasulullah) melainkan
terhadap Abu Bakar sebagaimana tidak akan ditemui celaan kepada seseorang
melainkan terhadap Abu Lahab dan isterinya. Pengkhususan pujian terhadap Abu
Bakar al-Shiddiq itu merupakan pengkhususan secara langsung daripada
Allah, Tuhan sekalian alam dan ini menunjukkan keutamaan ke atas beliau yang
tidak diperolehi seseorangpun selain darinya.
Kelima:
Firman
Allah: “Dia salah seorang dari dua (sahabat)…” merupakan
perkataan daripada Allah, Tuhan sekalian alam yang ditujukan kepada sekalian
kaum Muslimin bagi menunjukkan dengan jelas keutamaan orang yang berada di
dalam gua tersebut. Menerusi ayat ini jelas bahawa Abu Bakar al Siddiq
adalah orang kedua tertinggi keutamaannya selepas Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam.
Lebih
dari itu, umat Islam bersepakat bahawa sahabat yang utama ialah mereka
yang terawal berhijrah. Maka apakah tandingannya kepada Abu Bakar yang bukan
sahaja terawal berhijrah tetapi merupakan teman Rasulullah dalam berhijrah?
Keenam:
Ayat
di atas juga menunjukkan bahawa Abu Bakar radhiallahu 'anh adalah
sahabat yang kedua terpenting dalam urusan dakwah dan pentadbiran Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam. Perkara ini terbukti melalui perstiwa-peristiwa yang
lain juga. Sebagai contoh, Rasulullah tidak akan pergi berperang melainkan
Abu Bakar ada bersama baginda. Apabila Rasulullah uzur sebelum kewafatannya,
Abu Bakar dilantik menjadi imam solat. Malah apabila Abu Bakar wafat, beliau
dikebumikan di sebelah Rasulullah. Maka hubungan “salah seorang
daripada dua” tidak hanya berlaku di dalam peristiwa hijrah tetapi
dalam pelbagai liku kehidupan sehinggalah kepada alam seterusnya.
Ketujuh:
Firman
Allah melalui lisan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Janganlah
engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita" sekali lagi
menunjukkan keutamaan Abu Bakar radhiallahu 'anh. Kebersamaan Allah
kepada kedua-dua Rasulullah dan Abu Bakar, tidak kepada Rasulullah sahaja,
menunjukkan bahawa Abu Bakar adalah seorang yang diiktiraf ketaqwaan dan
kebaikannya. Ini kerana:
إِنَّ اللَّهَ مَعَ
الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ
Sesungguhnya
Allah berserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya. [al-Nahl 16:128]
10 Allah
Memilih Abu Bakar sebagai Khalifah Menggantikan Nabi-Nya
Allah
Subhanahu wa Ta'ala telah memilih Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai
khalifah yang mengganti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebelum
kewafatan Rasulullah, baginda telah mengisyaratkan bahawa individu yang akan
menggantikan baginda menjaga urusan umatnya ialah Abu Bakar. A’isyah radhiallahu
'anha menerangkan:
قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَرَضِهِ ادْعِي لِي أَبَا بَكْرٍ أَبَاكِ وَأَخَاكِ
حَتَّى أَكْتُبَ كِتَابًا فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَتَمَنَّى مُتَمَنٍّ وَيَقُولُ
قَائِلٌ: أَنَا أَوْلَى. وَيَأْبَى اللَّهُ وَالْمُؤْمِنُونَ إِلاَّ أَبَا
بَكْرٍ.
Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepada aku ketika menghadapi
penyakitnya: “Panggillah kepada aku Abu Bakar – ayah kamu dan saudara lelaki
kamu (yakni ‘Ali) supaya aku dapat tuliskan sesuatu. Sesungguhnya aku takut
seseorang yang lain ingin mengambil kedudukannya dan berkata: ‘Saya lebih
berhak ke atasnya’, sedangkan Allah dan orang-orang yang beriman tidak
menerimanya kecuali Abu Bakar.[21]
al-Nawawi
rahimahullah mengulas:[22]
Hadis ini merupakan
bukti jelas tentang keutamaan Abu Bakar radhiallahu ‘anh. Hadis ini
juga mengkhabarkan ramalan Rasulullah tentang apa yang akan berlaku selepas
kewafatan baginda dimana orang-orang Islam tidak akan menerima sesiapa
menjadi khalifah selain Abu Bakar.
Jubair
bin Mut‘im (جبير بن مطعم) radhiallahu ‘anh berkata:
أَنَّ امْرَأَةً سَأَلَتْ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا فَأَمَرَهَا أَنْ تَرْجِعَ إِلَيْهِ.
فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ جِئْتُ فَلَمْ أَجِدْكَ؟ (قَالَ
أَبِي: كَأَنَّهَا تَعْنِي الْمَوْتَ) قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدِينِي فَأْتِي
أَبَا بَكْرٍ.
Seorang
wanita (datang) bertanya sesuatu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Baginda menyuruh wanita tersebut merujuk kembali kepada baginda
(pada waktu yang lain). Wanita itu bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana
jika aku datang dan engkau tidak ada – yakni[23] telah wafat?” Rasulullah menjawab: Jika tidak
menemuiku maka pergilah menemui Abu Bakar.[24]
Ibn
Hajar al-‘Asqalani rahimahullah mengulas:[25]
Berkata sebahagian
ilmuan, hadis ini merupakan dalil yang sahih bahawa Abu Bakar adalah khalifah
selepas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi dengan jalan isyarat
bukannya dengan menunjuk …… berkata al-Kirmani rahimahullah: “Hadis
tersebut diterjemahkan sebagai menunjukkan kekhalifahan Abu Bakar.”
Abu
Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam bersabda:
لاَ يَبْقَيَنَّ فِي الْمَسْجِدِ بَابٌ
إِلاَّ سُدَّ إِلاَّ بَابَ أَبِي بَكْرٍ.
Jangan
dibiarkan dalam masjid (rumah-rumah dengan) pintu yang terbuka kecuali ianya
ditutup melainkan pintu rumah Abu Bakar.[26]
Ibn
Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari, jld. 7, ms. 15 telah mengambil
pandangan al-Khaththabi dan Ibn Baththal serta selainnya bahawa hadis
tersebut bukan sahaja menunjukkan kekhususan Abu Bakar tetapi juga sebagai
satu isyarat yang kuat bagi kekhalifahannya.
A’isyah
radhiallahu ‘anha telah menyebut sebuah hadis yang panjang dimana
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ.
Hadis
di atas memberi petunjuk yang sangat jelas bahawa Abu Bakar radhiallahu
'anh adalah sahabat yang paling utama secara mutlak dan dia adalah orang
yang paling berhak memangku jawatan khalifah setelah Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam wafat. Ini kerana beliaulah yang disuruh memimpin
manusia menjadi imam solat menggantikan tempat Rasulullah.
Peristiwa
ini berlaku ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghadapi
sakit yang membawa kepada kewafatannya. Apabila baginda tidak mampu untuk
memimpin solat (menjadi imam solat berjamaah), baginda telah mengarahkan
A’isyah memanggil Abu Bakar menggantikan tempatnya menjadi imam. Maka Abu
Bakar menjadi imam beberapa hari semenjak itu.
Satu
hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar dengan dipapah
oleh al-‘Abbas serta ‘Ali radhiallahu anhuma maka baginda duduk di
samping Abu Bakar yang ketika itu sedang mengimami solat berjemaah. Setelah
menunaikan solat, Rasulullah masuk ke dalam rumah baginda dan tidak keluar
lagi selepas itu sehingga kewafatan baginda. Satu ketika sedang para sahabat
berjemaah dengan diimami oleh Abu Bakar, Rasulullah menyingkap tirai penutup
rumah baginda sambil melihat kepada para sahabat yang sedang solat berimamkan
Abu Bakar. Wajah baginda putih laksana kertas dalam keadaan tersenyum lebar,
melihat apa yang berlaku kemudian baginda menutup tirai tersebut dan itulah
kali terakhir para sahabat melihat baginda kerana pada malam hari itulah
baginda wafat. Kisah ini terdapat di dalam kitab-kitab Sahih dan ia
menjadi petunjuk dan isyarat kepada kekhalifahan Abu Bakar.
11 Abu
Bakar Sebagai Khalifah Setelah Kewafatan Rasulullah
Perkara
yang besar dan agung bagi agama Islam dan umatnya adalah proses perlantikan
Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh sebagai khalifah
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah
memberikan petunjuk ke atas pemilihan beliau menerusi ilham-Nya ke atas Umar
al-Khaththab radhiallahu ‘anh. Sesungguhnya bagi Allah apabila Dia
menghendaki sesuatu Dia akan mewujudkan sebab-sebab bagi perkara itu.
Sejurus
selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam golongan
Muhajirin berkumpul di masjid Nabawi manakala golongan Ansar berkumpul di
dewan (Saqifah) Bani Sa‘idah. Apabila golongan Muhajirin
mendengar bahawa golongan Ansar ingin membai‘ah Sa‘ad bin Ubadah radhiallahu
‘anh sebagai khalifah maka mereka pergi ke dewan Bani Sa‘idah
untuk melihat apa yang berlaku. Apabila mereka sampai di
“Amma Ba’du, kami adalah golongan Ansar, para penolong Allah dan pasukan
Islam. Kamu sekalian wahai golongan Muhajirin adalah bahagian dari
kami.” Abu Bakar bangun lalu berucap: “Adapun yang engkau sebutkan
tentang kebaikan-kebaikan yang ada pada kamu sekaliannya sememangnya adalah
benar dan kamu sekalianlah orangnya. Namun orang-orang Arab hanya mengenal
kabilah ini iaitu Quraisyh. Secara nasab merekalah yang paling mulia di
antara bangsa-bangsa Arab. Dengan itu kamilah yang menjadi ketua sedangkan
kamu adalah menteri-menteri.”
al-Hubab bin
al-Munzir berkata: “Demi Allah tidak, daripada kami seorang pemimpin dan
daripada kamu seorang pemimpin.” Abu Bakar menjawab: “Tidak, akan tetapi
daripada kami seorang pemimpin manakala daripada kalian menteri-menteri.”
Maka mulailah orang-orang
mengangkat suara dan timbullah kekecohan. Bagi mengelakkan terjadinya
perselisihan yang berpanjangan maka Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya aku
redha jika urusan pemerintahan ini diserahkan kepada salah seorang dari dua
lelaki ini, terserahlah kamu untuk memilih yang mana satu…” lalu Abu Bakar
menarik tangan ‘Umar serta Abu ‘Ubaidah Bin al-Jarrah.
‘Umar berkata:
“Bahkan kami akan membai‘ah engkau (Abu Bakar). Engkau adalah pemimpin
kami, sebaik-baik orang di kalangan kami serta yang paling kasih kepada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di kalangan kami.” Lalu ‘Umar
berkata kepada Abu Bakar: “Berikan tanganmu wahai Abu Bakar…” maka dia
memberikan tangannya dan ‘Umar segera membai‘ahnya diikuti oleh
golongan Muhajirin dan Ansar.[28]
Maka
tamatlah bai‘ah yang pertama di dewan Bani Sa‘idah kemudian
diikuti dengan bai‘ah kali kedua yang dilakukan oleh semua sahabat di
Masjid Nabawi.[29]
‘Ali
radhiallahu ‘anh agak terlambat memberikan bai‘ahnya, iaitu
setelah enam bulan kemudian, ketika wafatnya isteri beliau Fathimah radhiallahu
‘anha.[30]
Anas
bin Malik radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa ‘Umar telah berkhutbah:
وَإِنَّ أَبَا بَكْرٍ صَاحِبُ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَانِيَ اثْنَيْنِ فَإِنَّهُ
أَوْلَى الْمُسْلِمِينَ بِأُمُورِكُمْ فَقُومُوا فَبَايِعُوهُ.
Dan
sesungguhnya Abu Bakar adalah sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
ketika mereka berdua berada di dalam gua. Beliaulah yang paling layak menjadi
pemimpin mengurus segala urusan umat Islam, maka berdirilah dan bai‘ahlah
kepada dia.
Anas
melanjutkan: “Sebelum itu sebahagian daripada kaum Muslimin telah membai‘ahnya
di dewan Bani Sa‘idah – namun bai‘ah secara umum baru
terlaksana di dalam masjid di atas mimbar.[31]
Mengenai
tindakan ‘Ali yang lambat membai‘ah Abu Bakar, sebabnya boleh
diperhatikan dalam hadis berikut:
عَنْ عَائِشَةَ, أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْسَلَتْ إِلَى أَبِي بَكْرٍ تَسْأَلُهُ مِيرَاثَهَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْهِ بِالْمَدِينَةِ وَفَدَكٍ
وَمَا بَقِيَ مِنْ خُمُسِ خَيْبَرَ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: إِنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَ نُورَثُ مَا تَرَكْنَا
صَدَقَةٌ. إِنَّمَا يَأْكُلُ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فِي هَذَا الْمَالِ وَإِنِّي وَاللَّهِ لاَ أُغَيِّرُ شَيْئًا مِنْ صَدَقَةِ
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ حَالِهَا الَّتِي كَانَ
عَلَيْهَا فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَلأَعْمَلَنَّ فِيهَا بِمَا عَمِلَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ. فَأَبَى أَبُو بَكْرٍ أَنْ يَدْفَعَ إِلَى فَاطِمَةَ مِنْهَا
شَيْئًا. فَوَجَدَتْ فَاطِمَةُ عَلَى أَبِي بَكْرٍ فِي ذَلِكَ فَهَجَرَتْهُ
فَلَمْ تُكَلِّمْهُ حَتَّى تُوُفِّيَتْ. وَعَاشَتْ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ.
فَلَمَّا تُوُفِّيَتْ دَفَنَهَا زَوْجُهَا
عَلِيٌّ لَيْلاً وَلَمْ يُؤْذِنْ بِهَا أَبَا بَكْرٍ وَصَلَّى عَلَيْهَا.
وَكَانَ لِعَلِيٍّ مِنْ النَّاسِ وَجْهٌ حَيَاةَ فَاطِمَةَ فَلَمَّا تُوُفِّيَتْ
اسْتَنْكَرَ عَلِيٌّ وُجُوهَ النَّاسِ. فَالْتَمَسَ مُصَالَحَةَ أَبِي بَكْرٍ
وَمُبَايَعَتَهُ وَلَمْ يَكُنْ يُبَايِعُ تِلْكَ الأَشْهُرَ. فَأَرْسَلَ إِلَى
أَبِي بَكْرٍ أَنْ ائْتِنَا وَلاَ يَأْتِنَا أَحَدٌ
مَعَكَ كَرَاهِيَةً لِمَحْضَرِ عُمَرَ فَقَالَ عُمَرُ: لاَ
وَاللَّهِ لاَ تَدْخُلُ عَلَيْهِمْ وَحْدَكَ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: وَمَا
عَسَيْتَهُمْ أَنْ يَفْعَلُوا بِي وَاللَّهِ لآتِيَنَّهُمْ.
فَدَخَلَ عَلَيْهِمْ أَبُو بَكْرٍ
فَتَشَهَّدَ عَلِيٌّ فَقَالَ: إِنَّا قَدْ
عَرَفْنَا فَضْلَكَ وَمَا أَعْطَاكَ اللَّهُ وَلَمْ نَنْفَسْ
عَلَيْكَ خَيْرًا سَاقَهُ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَكِنَّكَ اسْتَبْدَدْتَ عَلَيْنَا
بِالأَمْرِ وَكُنَّا نَرَى لِقَرَابَتِنَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَصِيبًا... حَتَّى فَاضَتْ عَيْنَا أَبِي بَكْرٍ.
فَلَمَّا تَكَلَّمَ أَبُو بَكْرٍ قَالَ:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَرَابَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَبُّ إِلَيَّ أَنْ أَصِلَ مِنْ قَرَابَتِي وَأَمَّا
الَّذِي شَجَرَ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ مِنْ هَذِهِ الأَمْوَالِ فَلَمْ آلُ فِيهَا
عَنْ الْخَيْرِ وَلَمْ أَتْرُكْ أَمْرًا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُهُ فِيهَا إِلاَّ صَنَعْتُهُ.
فَقَالَ عَلِيٌّ لأَبِي بَكْرٍ مَوْعِدُكَ
الْعَشِيَّةَ لِلْبَيْعَةِ. فَلَمَّا صَلَّى أَبُو بَكْرٍ الظُّهْرَ رَقِيَ
عَلَى الْمِنْبَرِ فَتَشَهَّدَ وَذَكَرَ شَأْنَ عَلِيٍّ وَتَخَلُّفَهُ عَنْ
الْبَيْعَةِ وَعُذْرَهُ بِالَّذِي اعْتَذَرَ إِلَيْهِ. ثُمَّ اسْتَغْفَرَ
وَتَشَهَّدَ عَلِيٌّ فَعَظَّمَ حَقَّ أَبِي بَكْرٍ وَحَدَّثَ أَنَّهُ لَمْ
يَحْمِلْهُ عَلَى الَّذِي صَنَعَ نَفَاسَةً عَلَى أَبِي بَكْرٍ وَلاَ إِنْكَارًا
لِلَّذِي فَضَّلَهُ اللَّهُ بِهِ وَلَكِنَّا نَرَى لَنَا فِي هَذَا الأَمْرِ
نَصِيبًا فَاسْتَبَدَّ عَلَيْنَا فَوَجَدْنَا فِي أَنْفُسِنَا. فَسُرَّ بِذَلِكَ
الْمُسْلِمُونَ وَقَالُوا أَصَبْتَ وَكَانَ الْمُسْلِمُونَ إِلَى عَلِيٍّ
قَرِيبًا حِينَ رَاجَعَ الأَمْرَ الْمَعْرُوفَ.
Daripada
A’isyah, bahawa Fathimah binti Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengutus
seseorang kepada Abu Bakar untuk bertanya kepadanya tentang harta warisan
beliau (Fathimah) daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, yakni apa
yang dikurniakan oleh Allah daripada harta rampasan tanpa peperangan di
Madinah, Fadak dan baki seperlima daripada Perang Khaibar.
Maka
Abu Bakar menjawab, sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda: “Kami tidak mewariskan apa-apa, apa yang kami tinggalkan ialah
sedekah.”
Abu
Bakar melanjutkan: “Ahli keluarga Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam boleh
memakan daripada harta tersebut. Sesungguhnya aku – Demi Allah – tidak akan
menukar apa-apa daripada urusan sedekah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam sebagaimana yang berlaku pada masa Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Aku akan memperlakukannya sebagaimana yang dilakukan oleh
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Maka
Abu Bakar enggan memberi apa-apa kepada Fathimah. Fathimah menjadi marah ke
atas Abu Bakar berkenaan hal ini dan meninggalkan beliau serta tidak
berkata-kata kepadanya sehinggalah kepada kewafatannya. Fathimah hidup selama
enam bulan selepas kewafatan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Tatkala
Fathimah radhiallahu 'anha meninggal dunia, ‘Ali mengebumikannya pada malam
hari tanpa memberitahu berita ini kepada Abu Bakar dan mensolatkan (Fathimah
tanpa Abu Bakar). Ketika Fathimah masih hidup ‘Ali masih disegani oleh orang
ramai kerana kedudukan Fathimah. Namun apabila Fathimah wafat, ‘Ali melihat
ramai orang mula mengingkarinya. Oleh itu ‘Ali mencari jalan untuk berdamai
dengan Abu Bakar dan membai‘ahnya. ‘Ali tidak membai‘ah Abu Bakar sejak
beberapa bulan (sejak Abu Bakar dilantik menjadi khalifah).
‘Ali
mengutus seseorang kepada Abu Bakar agar datang menemuinya seorang diri
kerana dia (‘Ali) tidak suka kepada kehadiran ‘Umar. ‘Umar berkata: “Tidak!
Demi Allah! Jangan kamu pergi kepada mereka berseorangan.” Maka Abu Bakar
menjawab: “Apakah yang akan mereka lakukan kepada aku? Demi Allah! Aku tetap
akan pergi kepada mereka.”
Maka
Abu Bakar datang menemui ‘Ali. Setelah mengucapkan tasyahud ‘Ali berkata:
“Sesungguhnya kami mengetahui keutamaanmu dan apa yang Allah anugerahkan
kepadamu. Dan sebenarnya kami tidak pernah merasa iri hati dengan kebaikan
yang Allah limpahkan kepadamu. Namun engkau terus mengambil alih ke atas kami
urusan (harta peninggalan Rasulullah) padahal kami memiliki hubungan
kekerabatan dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam….” ‘Ali masih
terus berkata-kata hingga Abu Bakar menangis dan berkata:
“Demi
Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya! Sesungguhnya kerabat Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam lebih aku cintai dan aku utamakan daripada
kerabatku sendiri. Adapun perselisihan di antara aku dan kalian (Ahli Bait
Rasulullah) berkenaan urusan harta maka tidaklah ahli keluarga (Rasulullah)
mendapat bahagian daripada kebaikannya. Aku tidak akan meninggalkan satu
urusan yang aku lihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakannya
melainkan aku laksanakannya juga.”
(Setelah
berpuas hati mendengar janji Abu Bakar) maka ‘Ali berkata kepada Abu Bakar:
“Aku berjanji selepas tengah hari ini akan membai‘ahmu.” Setelah melaksanakan
solat Zohor, Abu Bakar naik ke atas mimbar. Beliau bertasyahud dan memuji
‘Ali, kemudian menjelaskan kepada orang ramai sebab timbulnya perselisihan
tentang pembai‘ahan terhadap beliau.
Setelah
itu ‘Ali berucap, dimulai dengan permohonan ampun kepada Allah dan tasyahud,
kemudian menyebut ketinggian hak Abu Bakar. Beliau menyambung bahawa tidaklah
menjadi agendanya untuk menyaingi Abu Bakar mahupun mengingkari segala
keutamaan yang Allah berikan kepadanya. Akan tetapi, lanjut ‘Ali: “Oleh
kerana kami (Ahl al-Bait Rasulullah) sebelum ini berpendapat kami ada
bahagian dalam urusan harta warisan, namun setelah dijelaskan ke atas kami,
(ternyata kami tersilap) lalu kami menyesal akan sikap kami.”
(Mendengar
yang sedemikian) umat Islam menjadi gembira dan berkata: “Anda telah
melakukan perkara yang betul.” Setelah itu mereka menjadi rapat semula kepada
‘Ali sebagaimana ‘Ali juga kembali kepada apa yang dilakukan oleh umat Islam
semuanya (iaitu rapat dan berbaik dengan Abu Bakar).[32]
Perbandingkanlah
hadis di atas dengan apa yang diperkatakan oleh Syi‘ah al-Rafidhah bahawa
kononnya khalifah itu milik ‘Ali menerusi wasiat Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam. Ini adalah dakwaan yang batil serta tidak ada asal
usulnya sebagaimana menurut ijma’ para sahabat dan sekalian ilmuan.[33]
Sesungguhnya
para sahabat telah bersepakat bahawa pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah
telah membawa manfaat yang sangat besar ke atas Islam serta kaum Muslimin.
Pada zaman kepimpinan Abu Bakar, umat Islam telah mencapai pelbagai kejayaan,
antaranya:
1. Menghantar
ekspedisi ketenteraan di bawah pimpinan Usamah bin Za’id. Ekspedisi ini pada
asalnya dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan
tetapi mereka kembali ke Kota Madinah apabila mendengar Rasulullah mengalami
kesakitan yang amat berat.[34] Maka pada zaman kepimpinan Abu Bakar, beliau mengutus
semula ekspedisi ini.
2. Menyatupadukan
para sahabat dalam menghadapi sebahagian golongan yang murtad sebaik sahaja
Rasulullah wafat.
3. Pengumpulan
al-Qur’an daripada apa yang tersimpan secara berpisah-pisah dalam dada para sahabat
kepada satu catitan yang terhimpun rapi dan kemas.
4. Meluaskan
pembukaan Islam ke wilayah-wilayah baru.[35]
12 Kewafatan
Abu Bakar
Pada
awal Jamadil Akhir tahun 13 hijrah Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh
jatuh sakit. Ketika sakit beliau menulis wasiat agar tampuk kepimpinan
selepasnya diserahkan kepada ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh. Yang
menulis wasiat tersebut adalah ‘Utsman radhiallahu ‘anh. Kemudian
wasiat tersebut dibaca kepada segenap kaum Muslimin dan mereka menerimanya
dengan patuh.
Abu
Bakar radhiallahu 'anh wafat ketika berumur 63 tahun setelah menjadi
khalifah selama 2 tahun 3 bulan. Solat jenazah beliau diimami oleh ‘Umar
al-Khaththab dan dikebumikan selepas itu di sisi Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam. Jenazah beliau diturunkan ke dalam kubur oleh ‘Umar
al-Khaththab, Talhah, ‘Utsman serta ‘Abd al-Rahman bin Abu Bakar radhiallahu
‘anhum.
Anak-anak
Abu Bakar ialah ‘Abd Allah, ‘Abd al-Rahman, Muhammad, A’isyah, Asma’ dan Umm
Kaltsum radhiallahu ‘anhum.
[1]
Catitan penyunting:
Maksudnya dari kalangan orang lelaki yang merdeka.
al-Nawawi rahimahullah telah membahagikan orang yang terawal masuk
Islam sebagaimana berikut:
1. Dari golongan lelaki
dewasa yang merdeka adalah Abu Bakar
2. Dari golongan
kanak-kanak adalah 'Ali bin Abi Thalib
3. Dari golongan wanita
adalah Khadijah binti Khuwailid
4. Dari golongan mawali
(orang yang menjadi pembantu) adalah Zaid bin Haritsah
5. Dari golongan hamba
sahaya adalah Bilal b. Rabah. [al-Nawawi - Tadrib al-Rawi, jld. 2,
hlm. 691.]
[2]
Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3661 (Kitab
al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…).
[3]
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis
no: 3678 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…). Juga
dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no:
17506.
[4]
Hasan: Hadis dikeluarkan al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani
dalam Shahih Sunan al-Tirimizi – hadis no: 3675 (Kitab al-Manaqib,
Bab manaqib Abu Bakar…). Juga dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya
– hadis no: 1678 dan al-Darimi di dalam Sunannya – hadis no: 1660.
[5]
Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya –
hadis no: 3654 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Tutupilah pintu-pintu
kecuali pintu Abu Bakar”) dan dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya
– hadis no: 2382.
[6]
Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya –
hadis no: 6859 dan berkata Syu‘aib al-Arna’uth: Sanadnya sahih atas syarat
Muslim.
[7]
Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh
al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5808.
[8]
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis
no: 3666 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”) dan
dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1027.
[9]
Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no:
1028 (Kitab al-Zakat, Bab orang yang menghimpunkan sedekah serta amal-amal
yang baik).
[10]
Syarh
Shahih Muslim bi al-Nawawi, jld. 15, ms.156.
[11]
-----: Dikeluarkan
oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no: 6867, al-Thabarani di
dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 11, ms. 80, hadis no: 11166 dan al-Mu’jam
al-Ausath – hadis no: 481, semuanya dengan jalan yang berpangkal kepada
Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar al-Salami. Berkata Syu‘aib al-Arna’uth di
dalam semakannya ke atas kitab Shahih Ibn Hibban, jld. 15, ms. 283,
notakaki no: 2 bahawa para perawinya adalah sahih kecuali Ahmad bin Muhammad
bin Abi Bakar al-Salami, tidak ditemui biografinya dalam kitab-kitab al-Jarh
wa al-Ta’dil. Hanya al-Haitsami yang menthiqahkan beliau
sebagaimana di dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14331 (Kitab
al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar).
[12]
Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3675 (Kitab
al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”). Juga dikeluarkan oleh
Abu Daud di dalam Sunannya – hadis no: 4032 dan al-Tirmizi di
dalam Sunannya – hadis no 3630.
[13]
Disebut
oleh al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa‘id – hadis no: 14295 (Kitab
al-Manaqib, Bab berkenaan manaqib Abu Bakar) dan beliau berkata:
Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan para perawinya adalah thiqah.
[14]
Catitan
penyunting:
Gelaran al-Wilayah ialah apa yang disandarkan oleh golongan Syi‘ah ke
atas ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh.
[15]
Sanad
Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya – hadis no:
6864 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Juga dikeluarkan
oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4404 dan al-Thabarani
di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 1, ms. 53, hadis no: 7.
[16]
Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3671 (Kitab
al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”). Juga dikeluarkan oleh Ahmad
di dalam Fadha’il al-Shahabah – hadis no: 136 dan Abu Daud di dalam Sunannya
– hadis no: 4629.
[17]
Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3670 (Kitab
al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Seandainya…”).
[18]
Sahih:
Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2384 (Kitab
keutamaan para sahabat, Bab keutamaan Abu Bakar). Juga dikeluarkan oleh
al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3662.
[19]
Catitan
penyunting:
Pengarang telah mengemukakan sebelas kesimpulan, namun kami hanya
mencukupkannya kepada tujuh kerana sebahagian daripada kesimpulan tersebut
saling berulang di atas satu sama lain.
[20]
Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya –
hadis no: 3654 (Kitab al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Tutupilah pintu-pintu
kecuali pintu Abu Bakar”) dan dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya
– hadis no: 2382.
[21]
Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2387 (Kitab keutamaan
para sahabat, Bab keutamaan Abu Bakar). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari
dengan lafaz yang sedikit berbeza, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no:
5666.
[22]
Syarh
Shahih Muslim, jld. 15, ms. 155.
[23]
Catitan
penyunting:
Ini adalah penjelasan Jubair bin Mut‘im sebagaimana jelas anaknya Muhammad
bin Jubair bin Mut‘im.
[24]
Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2386 (Kitab keutamaan
para sahabat, Bab keutamaan Abu Bakar). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari
di dalam Shahihnya – hadis no: 3659.
[25]
Fath
al-Bari, jld. 13, ms. 333.
[26]
Sahih:
Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 3654 (Kitab
al-Manaqib, Bab sabda Nabi: “Tutupilah pintu-pintu kecuali pintu Abu Bakar”)
dan dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2382.
Catitan penyunting:
Syi‘ah al-Rafidhah menolak hadis ini kerana bertentangan dengan
sebuah hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh
ditutup semua pintu melainkan pintu ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh.
Hadis tersebut memiliki beberapa jalan periwayatan yang saling menguat antara
satu sama lain. Akan tetapi ia tidaklah bertentangan dengan hadis riwayat
al-Bukhari di atas. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh
ditutup semua pintu rumah-rumah yang berada di dalam masjid kecuali pintu Abu
Bakar demi menunjukkan keutamaan beliau dan mengisyaratkan kekhalifahan
beliau. Ini kerana masjid adalah “pejabat” khalifah dan pintu yang terbuka ke
arah masjid memudahkan urusan khalifah di “pejabat”nya itu.
Pada waktu yang sama, Rasulullah membenarkan pintu rumah
‘Ali dibiarkan terbuka demi membolehkan beliau keluar-masuk rumahnya. Ini
kerana rumah ‘Ali hanya memiliki satu pintu sahaja berbanding rumah para
sahabat yang lain. Jika pintu yang menghadap ke masjid tertutup, para sahabat
yang lain tetap boleh keluar-masuk rumah mereka melalui pintu yang lain.
Berbeza dengan ‘Ali dimana jika pintu rumahnya ditutup, beliau akan terkurung
di dalam. Oleh kerana itulah Rasulullah membenarkan pintu ‘Ali terbuka. Bukan
sekadar itu sahaja, oleh kerana satu-satunya pintu bagi rumah ‘Ali adalah di
dalam masjid, Rasulullah juga membenarkan ‘Ali melalui masjid di dalam
keadaan junub.
Tindakan Rasulullah membenarkan ‘Ali melalui masjid dalam
keadaan junub dimanfaatkan oleh Syi‘ah al-Rafidhah kononnya sebagai
keutamaan ‘Ali yang tidak dimiliki oleh para sahabat yang lain. Padahal ia
bukanlah keutamaan tetapi kelonggaran hukum disebabkan rumah beliau yang
hanya memiliki sebuah pintu.
Lebih lanjut rujuk keterangan al-Qadhi al-Ismaili, Abu
Ja’far al-Thahawi dan Abu Bakar al-Kalabazi sebagaimana nukil Ibn Hajar
al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 7, ms. 15.
[27]
Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 664 daripada ‘Aisyah
dan no: 678 daripada Abu Musa, kedua-duanya dalam Kitab al-Azan.
[28]
Ringkasan
daripada beberapa hadis. Sila rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 3670
(Kitab al-Manaqib) daripada A’isyah dan hadis no: 6830 (Kitab
al-Hudud) daripada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas, daripada ‘Umar.
[29]
Catitan
penyunting:
Syi‘ah al-Rafidhah mengemukakan beberapa hujah berdasarkan peristiwa
di dewan Bani Sa‘idah:
1. Perlantikan
Abu Bakar berlaku dalam suasana kecoh.
2. Yang membai‘ah
Abu Bakar di dewan Bani Sa‘idah hanya segelintir para sahabat. Ia
menunjukkan bahawa kedudukan Abu Bakar sebagai khalifah hanya diiktiraf oleh
segelintir sahabat.
3.
Dakwaan-dakwaan Syi‘ah al-Rafidhah di atas dapat
dijawab seperti berikut:
Jawapan
kepada hujah pertama:
Benar bahawa berlaku kekecohan di dewan Bani Sa‘idah.
Orang yang memiliki sikap yang negatif, sepertimana Syi‘ah al-Rafidhah, menganggap
ini adalah sesuatu yang menunjukkan kelemahan dalam proses perlantikan Abu
Bakar. Namun orang yang memiliki sikap yang positif, sepertimana Ahl
al-Sunnah wa al-Jama'ah, memandang hal tersebut sebagai satu kekuatan
institusi sahabat. Ini kerana sekalipun mereka pada awalnya memiliki pendapat
tersendiri, akhirnya masing-masing akur kepada satu pendapat yang membawa
kepada perlantikan Abu Bakar.
Kekecohan yang berlaku dalam pertemuan di dewan Bani
Sa‘idah adalah sesuatu yang lumrah. Ini kerana apabila wujud sekumpulan
orang berkumpul untuk membincang sesuatu perkara, sama ada di dewan Bani
Sa‘idah atau dimana-mana dewan mesyuarat, menjadi satu kebiasaan jika
perbincangan adakalanya menjadi hangat. Namun yang penting adalah, adakah
selepas suasana yang hangat tersebut terhasil satu keputusan yang disepakati
semua?
Jawapan
kepada hujah kedua:
Benar bahawa yang membai‘ah Abu Bakar di dewan Bani
Sa‘idah hanya segelintir sahabat. Mereka adalah sahabat-sahabat yang
utama yang terlibat dalam proses perlantikan. Ini kerana proses mengangkat
seorang khalifah melalui dua tahap, yang pertama adalah pencalonan dan
perlantikan, kedua adalah proses mengikrar taat setia (bai‘ah) kepada
calon yang dilantik dalam proses pertama. Proses pertama dilakukan oleh
beberapa sahabat utama manakala proses kedua dilakukan oleh seluruh para
sahabat yang selebihnya.
Maka apa yang berlaku di dewan Bani Sa‘idah adalah
proses tahap pertama. Proses tahap kedua berlaku pada keesokan hari dimana
para sahabat seluruhnya membai‘ah Abu Bakar di dalam masjid. Hal ini
tercatit dalam kitab-kitab sejarah dan disahihkan oleh Ibn Katsir, rujuk Tartib
wa Tahzib Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Muhammad bin Syamil
al-Sulaimi (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari; Darul Haq,
Jawapan
kepada hujah ketiga:
Alasan kononnya para sahabat tergesa-gesa kerana ingin
mengelakkan ‘Ali daripada menjadi khalifah adalah khayalan kosong belaka
kerana semua para sahabat mengetahui bahawa ‘Ali tidak memiliki apa-apa hak
atas jawatan khalifah. Hal ini diakui oleh ‘Ali sendiri sebagaimana akan
datang perbincangannya seterus ini.
[30]
Catitan
penyunting:
Kata-kata pengarang ini memerlukan penelitian lanjut dan
ini akan saya lakukan dalam catitan seterusnya ketika menjelaskan hadis
daripada A’isyah radhiallahu 'anha dalam bab ini.
[31]
Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 7219 (Kitab
hukum-hukum)
[32]
Sahih:
Ringkasan hadis daripada A’isyah radhiallahu 'anha yang dikeluarkan
oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 4241 (Kitab
al-Maghazi, Bab ekspedisi Khaibar) dan Muslim di dalam Shahihnya –
hadis no: 1758 & 1759.
Catitan penyunting:
Hadis daripada A’isyah di atas masyhur dijadikan hujah oleh Syi‘ah
al-Rafidhah. Mereka menghujahkannya dari beberapa sudut seperti berikut:
Tuduhan
Syi‘ah al-Rafidhah pertama:
Kata-kata Abu Bakar bahawa Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam telah bersabda: “Kami tidak mewariskan apa-apa,
apa yang kami tinggalkan ialah sedekah.” adalah rekaan Abu Bakar
semata-mata untuk menahan harta-harta peninggalan Rasulullah daripada
diwarisi oleh Ahl al-Bait baginda.
Jawapan
kepada hujah pertama:
Di atas adalah tuduhan yang tidak berasas. Ini kerana Abu
Bakar bukan sahaja tidak memberi apa-apa harta warisan kepada Ahl al-Bait
tetapi juga kepada para isteri Rasulullah yang lain termasuklah A’isyah.
A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan:
إِنَّ أَزْوَاجَ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَدْنَ أَنْ يَبْعَثْنَ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ إِلَى
أَبِي بَكْرٍ فَيَسْأَلْنَهُ مِيرَاثَهُنَّ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ. قَالَتْ عَائِشَةُ لَهُنَّ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ نُورَثُ مَا تَرَكْنَا فَهُوَ صَدَقَةٌ؟
Sesungguhnya para
isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam selepas kewafatan baginda bercadang
untuk mengutus ‘Utsman ibn Affan sebagai wakil kepada Abu Bakar untuk
bertanya bagi pihak mereka tentang harta warisan Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam. Maka A’isyah berkata kepada mereka: “Bukankah Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda bahawa kami tidak mewariskan
apa-apa, apa yang kami tinggalkan ialah sedekah?” [Sahih:
Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1758 (Kitab
al-Jihad wa al-Siyar, Bab sabda Nabi: “Kami tidak mewariskan……”)]
Lebih dari itu, harta peninggalan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam juga tidak dikembalikan kepada Ahl
al-Bait pada zaman pemerintahan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh.
Ini menunjukkan bahawa hadis di atas adalah benar-benar merupakan sabda
Rasulullah dan bukan rekaan Abu Bakar.
Tuduhan
Syi‘ah al-Rafidhah kedua:
“Fathimah menjadi marah ke atas Abu Bakar berkenaan
hal ini…”
Menurut Syi‘ah al-Rafidhah, ini adalah satu
kesalahan besar yang dilakukan oleh Abu Bakar kerana Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam telah melarang sesiapa daripada menyakiti hati Fathimah:
فَإِنَّمَا ابْنَتِي بَضْعَةٌ
مِنِّي يَرِيبُنِي مَا رَابَهَا وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا.
Sesungguhnya anak perempuanku (Fathimah) tidak lain
adalah sebahagian daripada aku, mengganggu aku apa yang mengganggu beliau dan
menyakitkan aku apa yang menyakitkan beliau. [Sahih:
Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2449 (Kitab
al-Fadhail, Bab keutamaan Fathimah)].
Jawapan
kepada hujah kedua:
Kata-kata “Fathimah menjadi marah ke atas
Abu Bakar berkenaan hal ini…” adalah tambahan perawi hadis. Yang
benar Fathimah memarahi atau menyesali di atas sikap dirinya sendiri yang
bertanyakan tentang harta peninggalan (Tanah Fadak) Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. al-Luknawi di dalam syarahnya kepada Shahih
al-Bukhari berkata:
Ini adalah anggapan dari perawi
hadith sahaja. Beliau membuat kesimpulan begini kerana melihat Fatimah tidak
memberikan sebarang reaksi dan komen kepada Abu Bakar, apabila Abu Bakar
menyatakan para Nabi tidak mewarisi sebarang harta. Fathimah sebenarnya
menyesali sikap yang keluar dari dirinya sendiri. Beliau tidak berkata
apa-apa kepada Abu Bakar kerana menyesali sikapnya sendiri, atau dengan lain
perkataan, beliau memarahi dirinya sendiri kerana telah bertemu dengan
khalifah untuk sesuatu harta dunia sedangkan kehidupan Abu Bakar sendiri
telah diredhai oleh Allah. Beliau pula adalah seorang yang suka melakukan
kebajikan, bertanggungjawab dan tidak pernah menzalimi seseorang. [Dikemukakan oleh Ibrahim
Ali Sya’wat di dalam bukunya Kesalahan-Kesalahan Fakta-Fakta Sejarah Yang
Perlu Dibetulkan (edisi terjemahan oleh Basri bin Ibrahim; Jahabersa,
Johor Bahru, 2003), buku 2, ms. 25].
Tuduhan
Syi‘ah al-Rafidhah ketiga:
“…meninggalkan beliau serta tidak berkata-kata
kepadanya sehinggalah kepada kewafatannya.”
Syi‘ah al-Rafidhah melanjutkan, ini adalah
pemulauan yang dilakukan oleh Fathimah kepada Abu Bakar disebabkan tindakan
Abu Bakar yang menahan harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam daripada dimiliki oleh Fathimah radhiallahu 'anha.
Jawapan
kepada hujah ketiga:
Pemulauan yang berlaku bukanlah terhadap Abu Bakar tetapi
terhadap isu harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Maksudnya, Fathimah tidak lagi membangkitkan isu harta peninggalan Rasulullah
kepada Abu Bakar. Ibrahim Ali Sya’wat menjelaskan:
Semenjak hari itu Fatimah tidak
bercakap lagi dengan Abu Bakar dalam persoalan yang berkaitan dengan harta
pesaka tinggalan ayahandanya. Inilah juga yang dilaporkan oleh al-Tirmidhi
dari sesetengah gurunya, iaitu makna Fatimah yang berkata kepada Abu Bakar
dan Umar “Saya tidak akan bercakap lagi dengan anda berdua” ialah difokuskan
kepada bercakap tentang harta pesaka tersebut. [Kesalahan-Kesalahan
Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Dibetulkan, buku 2, ms. 27].
Merujuk kepada hujah Syi‘ah al-Rafidhah yang
pertama, kedua dan ketiga di atas, mereka membuat tuduhan-tuduhan sedemikian
semata-mata untuk memburukkan Abu Bakar radhiallahu 'anh. Tanpa
disedari, di sebalik tuduhan-tuduhan tersebut Syi‘ah al-Rafidhah telah
menggambarkan Fathimah radhiallahu 'anha sebagai seorang wanita yang
tamak terhadap harta duniawi.
Padahal yang benar Fathimah bin Muhammad bukanlah wanita
yang sedemikian rupa. Beliau adalah seorang muslimah mulia yang tidak
bersifat tamak terhadap harta duniawi. Memang, beliau bertanya tentang harta
peninggalan Rasulullah, sekadar untuk mengetahui samada beliau ada mewarisi
apa-apa daripadanya. Apabila ternyata bahawa Rasulullah tidak mewariskan
apa-apa harta peninggalan, Fathimah menerimanya dengan penuh keredhaan. Di
atas sikap redha inilah Fathimah menyesali tindakannya untuk bertanya, lantas
terus menutup isu tersebut sehinggalah kepada kewafatannya.
Lebih dari itu, Fathimah radhiallahu 'anha mengetahui
bahawa hayatnya di dunia adalah amat singkat selepas kewafatan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. Dalam kesingkatan tersebut, beliau sememangnya tidak
berhajat kepada apa-apa harta duniawi kecuali mengikuti ayahnya Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam di alam seterusnya. Hadis berikut daripada A’isyah radhiallahu
'anha dijadikan rujukan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا فَاطِمَةَ ابْنَتَهُ فَسَارَّهَا فَبَكَتْ
ثُمَّ سَارَّهَا فَضَحِكَتْ. فَقَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ لِفَاطِمَةَ مَا
هَذَا الَّذِي سَارَّكِ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَبَكَيْتِ ثُمَّ سَارَّكِ فَضَحِكْتِ. قَالَتْ: سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي
بِمَوْتِهِ فَبَكَيْتُ ثُمَّ سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي أَنِّي أَوَّلُ مَنْ
يَتْبَعُهُ مِنْ أَهْلِهِ فَضَحِكْتُ.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (ketika
sedang sakit yang membawa kepada kewafatannya) memanggil anaknya Fathimah
lalu membisikkan (sesuatu kepadanya), maka Fathimah menangis. Kamudian
Rasulullah membisikkan (sesuatu yang lain), maka Fathimah ketawa
(kegembiraan). Maka A’isyah bertanya kepada Fathimah tentang apa yang
dibisikkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga menyebabkan
dia bersedih dan kemudian ketawa. Fathimah menjawab: “Rasulullah
mengkhabarkan kepada aku tentang kematiannya maka aku bersedih, kemudian
mengkhabarkan kepada aku bahawa akulah yang pertama daripada ahli keluarga
baginda yang akan mengikutinya maka aku ketawa.” [Sahih:
Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 2450 (Kitab
al-Fadhail, Bab keutamaan Fathimah)].
Hujah
Syi‘ah al-Rafidhah keempat:
“Tatkala Fathimah radhiallahu 'anha meninggal
dunia, ‘Ali mengebumikannya pada malam hari tanpa memberitahu berita
ini kepada Abu Bakar dan mensolatkan (Fathimah tanpa Abu Bakar).”
Menurut Syi‘ah al-Rafidhah, hal di atas berlaku
sebagai lanjutan daripada tindakan Abu Bakar radhiallahu 'anh yang
merampas harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam milik
Fathimah radhiallahu 'anha. Tindakan tersebut mengakibatkan permusuhan
antara Ahl al-Bait dan Abu Bakar sehinggalah kepada wafatnya Fathimah
di mana beliau dikebumikan senyap-senyap pada malam hari.
Jawapan
kepada hujah keempat:
Tuduhan Syi‘ah al-Rafidhah bahawa pengebumian Fathimah pada malam hari
adalah kerana permusuhannya dengan Abu Bakar adalah tuduhan yang dusta. Yang
benar Fathimah dikebumikan pada malam hari kerana salah satu atau kedua-dua
daripada sebab berikut:
1. Beliau
wafat pada petang atau malam hari, maka menjadi sunnah yang ditekankan oleh Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam bahawa urusan jenazah jangan
ditangguh-tangguhkan. Maka ‘Ali radhiallahu 'anh terus menguruskan
jenazah Fathimah pada malam tersebut tanpa berlengah-lengah.
2. Turut
menjadi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan
jenazah adalah pengebumian tidak dilakukan pada waktu malam. Pengecualian
diberikan kepada orang yang terpaksa melakukannya pada waktu malam, seperti
dalam kes jenazah yang tidak dapat dikafan dengan sempurna disebabkan
kekurangan kain kafan. Fathimah radhiallahu 'anha hidup dalam suasana
keluarga yang sederhana lagi zuhud. Maka mereka tidak memiliki kain kafan
yang cukup besar untuk mengafani jenazah Fathimah secara sempurna. Oleh itu
hanya ‘Ali yang menguruskan jenazah Fathimah pada malam hari supaya jenazah
Fathimah tidak diperhatikan oleh orang ramai.
Hadis berikut daripada Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu
'anh menjadi rujukan dalam hal ini:
أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ يَوْمًا فَذَكَرَ رَجُلاً
مِنْ أَصْحَابِهِ قُبِضَ فَكُفِّنَ فِي كَفَنٍ غَيْرِ طَائِلٍ وَقُبِرَ لَيْلاً.
فَزَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُقْبَرَ الرَّجُلُ
بِاللَّيْلِ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهِ إِلاَّ أَنْ يُضْطَرَّ إِنْسَانٌ إِلَى
ذَلِكَ. وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا كَفَّنَ
أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيُحَسِّنْ كَفَنَهُ.
Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pada satu
hari berkhutbah, baginda menyebut tentang seorang lelaki dari kalangan
sahabatnya yang dikafankan dengan kain kafan yang tidak cukup panjang (untuk
menutup seluruh tubuhnya) dan dikebumikan pada waktu malam. Maka Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam menegah daripada mengebumikan seseorang pada
waktu malam sehinggalah baginda sempat menyolatkannya, kecuali jika
seseorang itu terpaksa melakukannya (mengebumikan pada waktu malam kerana
kekurangan kain kafan atau sebab lain). Baginda menegaskan: “Apabila salah
seorang daripada kalian mengafani saudaranya, hendaklah dia dikafan dengan
baik.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya
– hadis no: 943 (Kitab al-Jana’iz, Bab mengafan mayat dengan baik)].
Oleh itu sebagaimana Rasulullah tidak menyolatkan seorang
sahabat yang dikebumikan pada waktu malam kerana masalah kekurangan kain
kafan, maka demikianlah juga Abu Bakar tidak menyolatkan Fathimah yang
dikebumikan pada waktu malam kerana masalah kekurangan kain kafan.
Hujah
Syi‘ah al-Rafidhah kelima:
“Namun apabila Fathimah wafat, ‘Ali melihat ramai
orang mula mengingkarinya. Oleh itu ‘Ali mencari jalan untuk berdamai
dengan Abu Bakar dan membai‘ahnya.”
Menurut Syi‘ah al-Rafidhah, kononnya Abu Bakar dan
para sahabat yang lain radhiallahu 'anhum telah menyakiti hati Ahl
al-Bait dengan merebut jawatan khalifah. Ini semua menyebabkan kehidupan Ahl
al-Bait menjadi tersisih dan diingkari oleh masyarakat. Maka siapa yang
menyakiti Ahl al-Bait Rasulullah maka dia sebenarnya menyakiti
Rasulullah.
Jawapan
kepada hujah kelima:
Di atas adalah hujah Syi‘ah al-Rafidhah yang lahir daripada sikap
terburu-buru mereka. Yang sebenarnya menjauhkan diri daripada Abu Bakar dan
para sahabat selainnya radhiallahu 'anhum adalah Ahl al-Bait
disebabkan salah faham mereka tentang siapakah yang memiliki hak untuk
mengurus harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Salah faham ini kemudiannya telah diperbetulkan dan ‘Ali mengaku akan
kesilapan mereka sendiri. Hal ini dapat diperhatikan selanjutnya dalam hadis
di atas. Justeru tidak ada sesiapa yang menyakiti hati Ahl al-Bait
melainkan salah faham mereka sendiri.
Hujah
Syi‘ah al-Rafidhah keenam:
“‘Ali tidak membai‘ah Abu Bakar sejak
beberapa bulan (sejak Abu Bakar dilantik menjadi khalifah).”
Kenyataan di atas menjadi hujah utama bagi Syi‘ah al-Rafidhah, bahawa
keengganan ‘Ali membai‘ah Abu Bakar kecuali setelah beberapa bulan
menunjukkan bahawa ‘Ali tidak mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar. Lebih dari
itu ia menunjukkan wujud perselisihan politik antara ‘Ali dan Abu Bakar.
Jawapan
kepada hujah keenam:
Perhatikan bahawa yang menerangkan hal di atas adalah
A’isyah radhiallahu 'anha. Pengamatan beliau dalam hal di atas tidak
boleh dianggap muktamad kerana para wanita pada zaman itu tidak turut serta
dalam proses perlantikan dan memberi bai‘ah kepada khalifah yang baru
dilantik. Oleh itu A’isyah sebenarnya tidak tahu secara pasti sama ada ‘Ali radhiallahu
'anh telah membai‘ah Abu Bakar radhiallahu 'anh atau tidak.
Beliau hanya menerangkan sekadar apa yang beliau tahu.
Justeru hal ini perlu dirujuk kepada para sahabat di
kalangan kaum lelaki kerana mereka adalah orang yang turut serta dalam proses
perlantikan dan memberi bai‘ah kepada khalifah Abu Bakar saat beliau
baru menduduki jawatan tersebut. Di sini hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu
'anh menjadi rujukan. Beliau menerangkan bahawa setelah Abu Bakar dipersetujui
menjadi khalifah, beliau berdiri di atas mimbar untuk memberi ucapan yang
pertama. Kemudian:
فَلَمَّا قَعَدَ أَبُو بَكْر عَلَى
المِنْبَرِ نَظَرَ فِي وُجُوهُ القَوْمِ فَلَمْ يَرَ عَلِيًا فَسَأَلَ عَنْهُ.
فَقَالَ نَاسُ مِنْ الأَنْصَارِ فَأَتُوا بِهِ. فَقَالَ أَبُو بَكْر: اِبْنُ
عَمِّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ وَخَتَنُهُ, أَرَدْتَ أَنْ
تَشُّقَ عَصَا المُسْلِمِيْنَ؟ فَقَالَ: لاَ تَثْرِيْبُ يَا خَلِيْفَةُ رَسُولَ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ. فَبَايِعُهُ.
Maka tatkala Abu Bakar bangkit ke atas mimbar,
beliau memerhatikan orang ramai, namun beliau tidak nampak ‘Ali. Maka beliau
bertanya tentang ‘Ali. Kemudian beberapa orang daripada kalangan Ansar pergi
memanggil ‘Ali untuk hadir. Lalu Abu Bakar bertanya: “(Wahai) sepupu Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam dan menantunya, adakah engkau ingin menimbulkan
perselisihan di kalangan kaum Muslimin?” ‘Ali menjawab: “Janganlah menuduh
aku sedemikian wahai Khalifah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.” Maka
‘Ali membai‘ah Abu Bakar.
Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak
– hadis no: 4457 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib Abu Bakar) dan
beliau berkata: Hadis ini sahih di atas syarat al-Bukhari dan Muslim hanya
mereka tidak mengeluarkannya. Akan tetapi al-Zahabi mendiamkan penilaian
al-Hakim ini. Namun hadis ini telah dirujuk oleh al-Baihaqi di dalam kitabnya
al-Sunan al-Kubra – setelah hadis no: 12732 (Kitab pembahagian
harta Fa’i dan al-Ghanimah) dan beliau menguatkannya.
Lebih dari itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
telah mengingatkan:
مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ
وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً.
Sesiapa yang menarik dirinya daripada ketaatan (kepada
khalifah) (maka dia akan) bertemu dengan Allah pada Hari Kiamat kelak tanpa
apa-apa hujah (untuk membela tindakannya itu) dan sesiapa yang mati tanpa
dirinya membai‘ah (seorang khalifah) (maka dia akan) mati dengan kematian
jahiliyyah. [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya
– hadis no: 1851 (Kitab al-Imarah, Bab kewajipan bersama jamaah)].
Oleh itu adalah mustahil ‘Ali menarik dirinya daripada
ketaatan kepada Abu Bakar atau menahan dirinya daripada membai‘ah Abu
Bakar selama beberapa bulan. Justeru yang benar ‘Ali radhiallahu 'anh telah
membai‘ah Abu Bakar pada hari orang ramai membai‘ah Abu Bakar.
Hanya hal ini tidak diketahui oleh A’isyah radhiallahu 'anha.
Seperkara lain yang perlu ditambah adalah, tindakan ‘Ali
membai‘ah Abu Bakar adalah di atas kerelaan dirinya sendiri. ‘Ali radhiallahu
'anh pernah berkata:
مَا غَضَبْنَا إِلاَّ لأَنَّا قَدْ
أَخَّرْنَا عَنِ الْمُشَاوَرَةِ وَإِنَّا نَرَى أَبَا بَكْر أَحَقُّ النَّاسَ
بِهَا بَعْدَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ. إِنَّهُ لِصَاحِبِ
الْغَارِ وَثَانِي اْثنَيْنِ وَإِنَّا لِنَعْلَمُ بِشَرَفِهِ وَكُبْرِهِ
وَلَقَدْ أَمَرَهُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ بِالصَلاَّةِ
بِالنَّاسِ وَهُوَ حَيٌّ.
Tiadalah kami marah (tentang perlantikan Abu Bakar
sebagai khalifah) kecuali disebabkan kami telah ditinggalkan daripada turut
serta dalam perjumpaan (di dewan Bani Sa‘idah). Padahal kami memang memandang
Abu Bakar sebagai orang yang paling berhak (menjadi khalifah) sesudah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sesungguhnya beliaulah sahabat
(Rasulullah) di dalam gua, justeru orang yang kedua daripada dua orang. Dan
sesungguhnya kami mengetahui akan kemuliaan dan kebesarannya. Demi
sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menyuruh beliau
mengimami solat orang ramai pada hal baginda saat itu masih hidup. [Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – hadis no: 4422 (Kitab
Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib Abu Bakar) dan beliau berkata: Hadis
ini sahih di atas syarat al-Bukhari dan Muslim hanya mereka tidak
mengeluarkannya. Berkata al-Zahabi: (Sahih) di atas syarat al-Bukhari dan
Muslim.]
Hujah
Syi‘ah al-Rafidhah ketujuh:
“Namun engkau terus mengambil alih ke atas kami
urusan (harta peninggalan Rasulullah) padahal kami memiliki hubungan
kekerabatan dengan Rasulullah.”
Syi‘ah al-Rafidhah mendakwa bahawa urusan yang
dimaksudkan oleh ‘Ali dalam kata-katanya di atas kepada Abu Bakar ialah
urusan kekhalifahan.
Jawapan
kepada hujah ketujuh:
Urusan yang dimaksudkan oleh ‘Ali radhiallahu 'anh bukanlah
urusan khalifah tetapi pengurusan harta peninggalan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam seperti tanah di Khaibar dan selainnya. Ini boleh
diperhatikan dalam hadis di atas dalam jawapan Abu Bakar. Rujuk juga
keterangan Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 7, ms. 495
ketika mensyarahkan hadis di atas. Ia bukanlah urusan kekhalifahan kerana
‘Ali sendiri telah mengakui hak Abu Bakar sebagai khalifah dalam hadis no:
4422 yang dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak yang
dikemukakan sebelum ini.
Hujah
Syi‘ah al-Rafidhah kelapan:
“Aku berjanji selepas tengah hari ini akan
membai‘ahmu.”
Berdasarkan kenyataan di atas, Syi‘ah al-Rafidhah mendakwa
‘Ali hanya membai‘ah Abu Bakar selepas kewafatan Fathimah, yakni kira-kira
enam bulan selepas Abu Bakar menjadi khalifah.
Jawapan
kepada hujah kelapan:
Bai‘ah yang dimaksudkan di atas bukanlah bai‘ah
yang pertama tetapi bai‘ah yang kedua bagi menutup sebarang sangkaan
di kalangan orang ramai tentang kedudukan antara Abu Bakar dan ‘Ali radhiallahu
'anhuma. Oleh kerana wujudnya perselisihan tentang siapakah yang berhak
mengurusi harta peninggalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,
wujud sangkaan di kalangan sebahagian orang ramai kononnya ‘Ali telah menarik
diri daripada memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada Abu Bakar. Oleh
itu dalam peristiwa di atas, ‘Ali kembali menyatakan janji taat setia kepada
Abu Bakar dan ini kemudiannya melegakan sangkaan di kalangan orang ramai.
[Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 7,
ms. 495-496][33] Catitan
penyunting:
Maksudnya dalam pertemuan beliau dengan Abu Bakar, ‘Ali tidak mendakwa
dirinya memiliki hak menjadi khalifah tetapi sekadar hak untuk mengurus harta
warisan yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Seandainya ‘Ali telah diwasiatkan oleh Rasulullah untuk menjadi khalifah,
nescaya ‘Ali akan menuntut perlaksanaan wasiat tersebut di atas Abu Bakar.
Lebih dari itu ‘Ali langsung tidak akan membai‘ah Abu Bakar,
sebaliknya menuntut orang ramai agar membai‘ahnya.
[34]
Catitan
penyunting:
Hal ini diperalatkan oleh Syi‘ah al-Rafidhah bahawa
kononnya Usamah bin Zaid dan pasukannya telah menderhakai perintah Rasulullah
dengan berpatah balik ke Kota Madinah. Syi‘ah al-Rafidhah juga
menambah, tujuan ekspedisi ini berpatah balik adalah untuk menjaga jawatan
khalifah daripada jatuh ke tangan ‘Ali. Tuduhan ini dapat dijawab seperti
berikut:
1. Tujuan
Usamah berpatah balik bukan kerana isu khalifah tetapi kerana prihatin kepada
kesihatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tidaklah menjadi
agenda mereka untuk menjaga jawatan khalifah daripada jatuh ke tangan ‘Ali
kerana mereka sejak awal mengetahui bahawa ‘Ali tidak memiliki apa-apa hak
atas jawatan tersebut.
2. Penderhakaan
adalah apabila satu perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diingkari
secara mutlak. Apa yang dilakukan oleh Usamah bukanlah pengingkaran tetapi
penangguhan untuk sementara waktu. Tindakan berpatah balik dilakukan setelah
Usamah dan pasukannya mengetahui kedudukan tentera Rom saat itu yang tidak
mengancam keselamatan umat Islam. Lebih dari itu, mereka juga menyedari
bahawa tindakan berpatah balik hanyalah untuk tempoh sementara, bukan
selama-lamanya. Justeru apa yang dilakukan oleh Usamah bukanlah satu
penderhakaan tetapi satu kebijaksanaan dalam menimbang antara dua suasana
mana yang patut diberi keutamaan.
[35]
Catitan
penyunting:
Terdapat banyak lagi pembaharuan dan kebijaksanaan Abu
Bakar di dalam kepimpinannya. Antara rujukan yang baik dalam bab ini ialah Tarikh
al-Khulafa karangan al-Suyuthi, sudah diterjemahkan oleh Samson Rahman
dengan judul yang sama (Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2001).
|
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar