TOKO ALHAROMAIN
MENJUAL PAKAIAN JADI
D 54-D55 AND B19-B20
PASAR TANJUNG MOJOKERTO
Mengenali Hadith Mawdhu’ (Palsu)
Mengenali Hadith Mawdhu’ (Palsu)
Hadith-hadith Mawdhu’ itu dapat dikenali pada
sanadnya dan juga pada matannya. Di antara ciri-cirinya yang utama ialah:
1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuat
hadith itu sendiri
Umpamanya seperti yanga diakui sendiri oleh
Abdul Karim bin Abu Al-Auja’, Maisarah bin Abdul Rabbih dan Nuh bin Abi Maryam.
2. Perawinya terkenal pembohong
Sedangkan Hadith yang diriwayatkan tidak
diriwayatkan oleh perawi lain yang tsiqah (dipercayai).
3. Bertentangan dengan kenyataan (fakta)
sejarah
Umpamanya seorang perawi meriwayatkan sebuah
hadith dari seorang guru, yang menurut kenyataan ia tidak pernah menemui guru
itu, atau ia dilahirkan sesudah guru yang dikatakan itu meninggal dunia,
ataupun ia tidak pernah datang berguru dengan guru tersebut.
Ma’mun bin Ahmad
Al-Harawi mendakwa ada mendengar hadith dari Hisyam bin ‘Amman kekanda kepada
Ibn Hibban, maka Ibn Hibban bertanya:
“Bilakah engkau ke
kota Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibn Hibban
berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.”
Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang
yang mengaku sebagai sahabat Nabi dan mendengar hadith-hadith Nabi dari Nabi
SAW atau dari sahabat-sahabat Nabi SAW, padahal mereka hidup ratusan tahun
setelah Nabi SAW dan para sahabat meninggal dunia.
4. Motif yang mendorong membuat hadith
palsu itu
Sebenarnya ada motif dan tujuan yang tertentu
yang mendorong orang membuat hadith-hadith palsu itu, seperti politik, fanatik
golongan, fanatik mazhab, kerana membodek raja, kerana mencari rezeki atau
sebagainya.
Contoh-contohnya:
"Bubur Harisah
itu akan menguatkan belakang."
Hadith ini dibuat oleh Muhammad bin al-Hajjah
Al-Lakhmi, seorang penjual bubur Harisah untuk melariskan buburnya itu.
"Aku beriman
kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan."
Hadith ini dibuat untuk mempertahankan
pendapat dalam mazhab Syafi’e yang mengatakan Bismillah adalah salah satu ayat
dari surah al-Fatihah yang wajib dibaca dengan suara keras dalam solat Jahriyyah.
Apa yang telah lalu disebutkan ialah mengenai
ciri-ciri Hadith Mawdhu’ pada sanadnya. Selain itu Hadith Mawdhu’ dapat
diketahui melalui matannya, iaitu:
1. Perkataan dan ayat-ayatnya sangat jelek dan
janggal
2. Kerosakan maknanya:
(a) Berlawanan dengan perkara yang mudah
diketahui oleh akal dan tak dapat pula dita’wil
Contoh: "Bahawasanya
bahtera Nuh bertawaf di Baitullah selama 7 hari dan bersolat 2 rakaat di Maqam
Ibrahim."
(b) Berlawanan dengan hukum akal mengenai
Allah. Akal menetapkan bahawa Allah suci daripada menyerupai makhluk
Seperti hadith:
"Bahawasanya
Allah menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Ia
menciptakan dirinya dari kuda itu."
"Allah mengadu
sakit mata, maka para Malaikat datang melawatnya."
(c) Berlawanan dengan ilmu kedoktoran
Contoh: "Buah
terung itu adalah penawar bagi segala penyakit."
(d) Mengandungi dongeng yang tidak diterima
akal
Seperti hadith: "Ayam
putih itu adalahku dan kekasih bagi kekasihku Jibril."
(e) Bertentangan dengan kenyataan dan ilmu
Seperti hadith:
"Bahawasanya Qaf
itu adalah sebuah bukit dari permata zamrud hijau yang mengelilingi dunia
bagaikan tembok mengelilingi kebun dan bahu-bahu langit terletak di
atasnya."
"Bahawasanya
bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila
lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu."
Al-Imam Ar-Razi berkata:
"Semua hadith
yang kau dapatinya bertentangan dengan akal, berlawanan dengan dasar-dasar
agama dan berlainan dengan yang dinukilkan dari Nabi, maka ketahuilah bahawa
itu adalah Hadith Mawdhu’."
(f) Menyalahi keterangan Al-Quran yang
qathi’e dan tidak pula dapat dita’wilkan
Contoh: "Anak
zina tidak akan memasuki Syurga sampai 7 keturunan."
Hadith ini bertentangan dengan Al-Quran:
"Dan orang yang
berdosa tidak akan memikul dosa orang lain." (Al-An'am: 64)
(g) Menyalahi Hadith Mutawatir
Contoh: "Apabila
diriwayatkan kepada kamu sebuah hadith yang sesuai dengan kebenaran, maka
ambillah dia sama ada saya mengkhabarkannya ataupun tidak."
Hadith ini bertentangan dengan Hadith
Mutawatir:
"Barangsiapa
yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah mengambil tempatnya
dari Neraka." (Hadith Muttafaq ‘Alaih dan Hadith ini adalah Mutawatir)
(h) Menyalahi kaedah umum yang diambil dari
al-Quran dan Sunnah
Contoh: "Barangsiapa
yang dilahirkan untuknya seorang bayi lelaki lalu diberi nama Muhammad, maka
dia dan anaknya di dalam Syurga."
Ini bertentangan dengan kaedah umum, iaitu
masuk Syurga mesti melalui amal soleh, bukan semata-mata kerana nama atau
gelaran belaka.
(i) Menyalahi kenyataan sejarah yang memang
sudah terkenal pada zaman Nabi SAW
Umpamanya hadith yang menerangkan bahawa Nabi
SAW memberatkan jizyah atas penduduk-penduduk Khaibar dengan disaksikan oleh Sa’ad
dan dituliskan oleh Abu Sufyan, pada hal menurut riwayat yang benar bahawa
jizyah itu belum lagi dikenakan pada waktu itu. Ia baru dikenakan sesudah
peperangan Tabuk. Sa’ad meninggal sebelum itu pada tahun peperangan Khandak dan
Abu Sufyan memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah.
(j) Hadith yang sesuai benar dengan mazhab
yang dipegang oleh perawinya dan ia pula terlalu sangat fanatik kepada
mazhabnya
Misalnya hadith: Kata
Ali: "Aku menyembah Allah bersama-sama Rasul-Nya sebelum lagi Dia disembah
oleh seseorang dari umat ini 5 tahun atau 7 tahun."
Hadith ini diriwayatkan oleh Habbah bin Juwain
yang terlalu fanatik kepada mazhab Syi’ah.
(k) Hadith yang menerangkan pahala yang
sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil
Misalnya:
"Sesuap makanan
yang diberikan kepada orang lapar lebih utama daripada membina 1,000 jami’
(masjid)."
"Barangsiapa
mengucapkan Laa ilaha Illallah, maka Allah menjadikan untuknya seekor burung
yang mempunyai 70,000 lidah dan bagi tiap-tiap lidah 70,000 bahasa yang mereka
beristighfar dengannya untuknya."
"Barangsiapa
bersolat Dhuha sekian rakaat, maka akan diberikan kepadanya pahala 70 orang
Nabi."
(l) Hadith yang menerangkan dosa dan siksa
yang sangat besar atas kesalahan yang kecil
Umpamanya: "Barangsiapa
memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah ia masuk Neraka selama 70
tahun."
(m) Hadith yang menerangkan sesuatu urusan
agama yang kalau ada semestinya diriwayatkan oleh orang ramai
Demikianlah ciri-ciri Hadith Mawdhu’ itu, dan
dengan memerhatikan ciri-ciri itu, maka Hadith Mawdhu’ dapat dikenal dengan
mudah.
Ar-Rabi’ mengatakan:
"Bahasawanya di
antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang bersinar seperti sinaran waktu siang
dan bahawasanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang gelap seperti
malam, kita mengetahuinya dengan gelap itu."
Perkataan Ar-Rabi’ ita menunjukkan, bahawa
perbezaan antara Hadith Nabi dengan Hadith Palsu itu terlalu sangat jelas dan
terang, dan tanda-tandanya sangat mudah diketahui, ia bagaikan malam dengan
siang.
Dan Al-Imam Ibn Al-Jawzy pula berkata:
"Hadith Mungkar
yakni Hadith Mawdhu’ itu menggementarkan kulit (badan) penuntut ilmu dan
kebiasaannya tidak diterima oleh hati."
Allahu a'lam bisshawab
Tidak ada komentar:
Posting Komentar