TOKO ALHAROMAIN
MENJUAL PAKAIAN JADI
D 54-D55 AND B19-B20
PASAR TANJUNG MOJOKERTO
Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya
Kata-Kata al-Imam al-Nawawi
Pendapat para ilmuan berkenaan
pengamalan hadis dha‘if
Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya
1. Kata-Kata al-Imam al-Nawawi.
2. Pendapat para ilmuan berkenaan pengamalan
hadis dha‘if
3. Syarat-syarat pengamalan hadis dha‘if:
- Ulasan kepada syarat pertama
- Ulasan kepada syarat kedua.
- Ulasan kepada syarat ketiga
4. Memberi prioriti kepada hadis sahih dan
hasan
5. Hadis dha‘if tidak boleh dijadikan ukuran
nilai sesuatu amal
Setiap kali ketibaan
bulan Rejab, timbul perbincangan di kalangan orang ramai berkenaan beberapa
amalan yang khusus kerananya seperti puasa sunat Rejab, solat sunat malam
tertentu bulan Rejab dan sebagainya. Di satu pihak terdapat mereka yang
mengatakan tidak ada apa-apa amal ibadah yang khusus dengan bulan Rejab kerana
semua hadis yang menganjurkan ibadah tersebut adalah tidak sahih. Di pihak yang
lain mereka membolehkan pengamalan ibadah-ibadah tersebut dengan hujah hadis
yang tidak sahih – yakni hadis-hadis dha‘if – boleh digunakan dalam keutamaan
beramal.
Dalam risalah ini penulis
akan cuba
mengupas isu beramal dengan hadis yang dha‘if. Kupasan bersifat umum tanpa
terhad kepada amalan bulan Rejab sahaja kerana terdapat banyak lagi amalan kita
di Malaysia
yang disandarkan kepada hadis-hadis yang dha‘if.
Kata-Kata al-Imam al-Nawawi
Kebanyakan orang
yang membolehkan penggunaan hadis dha‘if menyandarkan hujah mereka kepada
kata-kata al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[1]
Berkata para
ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli fiqh dan selain mereka, dibolehkan –
bahkan disunatkan beramal dengan hadis dha‘if dalam bab keutamaan
(al-Fadha’il), memberi anjuran (al-Targhib) dan amaran (al-Tarhib) asalkan
ianya bukan hadis maudhu’.
Adapun dalam bab
hukum-hakam seperti halal dan haram, jual-beli, penceraian dan apa-apa lain
yang seumpama, tidak boleh beramal dengan hadis dha‘if kecuali dengan hadis
yang sahih atau hasan. Melainkan jika hadis-hadis tersebut bersangkutan dengan
sikap berhati-hati terhadap bab-bab tersebut, seperti hadis dha‘if yang
menyebutkan makruhnya hukum melakukan sebahagian bentuk jual-beli atau
pernikahan, maka disunatkan untuk menghindari daripadanya (yang makruh
tersebut) namun ia tidak jatuh kepada hukum wajib.
Ada yang menerima
kata-kata al-Imam al-Nawawi di atas sebulat-bulatnya, bahkan menganggap mudah bahawa
pengamalan hadis dha‘if diperbolehkan asalkan ianya bukan hadis maudhu’.
Sebenarnya terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan oleh seseorang
sebelum dia boleh mengamalkan hadis dha‘if. Syarat-syarat ini juga diketahui
dan dipegang oleh al-Imam al-Nawawi, hanya beliau tidak menggariskannya dalam
kitabnya al-Azkar kerana kitab tersebut bukanlah kitab ilmu hadis tetapi kitab
yang dipermudahkan untuk menjadi amalan orang ramai. Hal ini seperti yang
disebutkan sendiri oleh al-Imam al-Nawawi di bahagian muqaddimah kitab
al-Azkarnya tersebut.
Pendapat para ilmuan berkenaan
pengamalan hadis dha‘if
Dalam kata-kata
al-Imam al-Nawawi di atas, beliau menyebut bahawa: “Berkata para ilmuan
daripada kalangan ahli hadis, ahli fiqh dan selain mereka, dibolehkan – bahkan
disunatkan beramal dengan hadis dha‘if……” Kata-kata di atas sebenarnya bukan
mencerminkan pandangan ijma’ tetapi jumhur ilmuan Islam. Hal ini diterangkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi
rahimahullah (902H):[2]
……bahawa dalam
pengamalan hadis dha‘if terdapat tiga pendapat: (yang pertama adalah) tidak
dibolehkan beramal dengannya secara mutlak, (yang kedua adalah) boleh beramal
dengannya jika dalam bab tersebut tidak ada yang selainnya (tidak ada hadis
yang sahih atau hasan) dan yang ketiga – ini merupakan pendapat jumhur – boleh
beramal dengannya dalam bab keutamaan asalkan bukan dalam bab hukum-hakam
sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini akan syarat-syaratnya.
TOP
Syarat-syarat
pengamalan hadis dha‘if.
Sepertimana yang
dikatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi di atas, jumhur ilmuan membolehkan
penggunaan hadis dha‘if dalam bab keutamaan beramal selagi mana diperhatikan
syarat-syaratnya. Syarat-syarat tersebut dikemukakan oleh beliau seperti
berikut:[3]
Saya mendengar guru
kami rahimahullah (yakni al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, 852H) selalu berkata,
bahkan telah mencatitkannya dengan tulisannya untuk saya bahawa syarat
pengamalan hadis dha‘if ada tiga:
1. Yang disepakati, bahawa kelemahan hadis
tersebut tidak berat. Maka terkeluarlah apa yang diriwayatkan oleh seorang
perawi yang dusta atau dituduh sebagai pemalsu hadis serta yang parah
kesalahannya.
2. Bahawa ianya mencakupi asas umum (agama).
Maka terkeluarlah sesuatu yang diada-adakan kerana tidak memiliki dalil asas
yang mengasaskannya.
3. Bahawa ia diamalkan tanpa berkeyakinan ia
adalah sabit (daripada Nabi), agar tidak disandarkan kepada Nabi shallallahu
'alaihi wasallam apa yang tidak disabdakan olehnya.
Seterusnya marilah
kita mengulas lanjut tiga syarat di atas.
Ulasan kepada syarat
pertama
Hadis dha‘if yang
diperbolehkan penggunaannya ialah hadis yang ringan kelemahannya. Maka dari
sini dapat kita ketahui bahawa setiap hadis yang ingin digunakan, sekalipun
untuk tujuan keutamaan beramal dan memberi anjuran serta amaran, perlu dirujuk
kepada sumbernya yang asal dan disemak darjatnya. Ini kerana tanpa merujuk
kepada sumbernya yang asal dan menyemak darjatnya, kita tidak akan mengetahui
sama ada kelemahannya adalah ringan atau berat. Dirujuk kepada sumbernya yang
asal bererti mencari hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis sama ada ia
benar-benar wujud atau tidak. Disemak darjatnya bererti dikaji sanadnya sama
ada ianya sahih atau tidak. Jika ianya tidak sahih, maka disemak sama ada
kelemahannya adalah ringan atau berat. Jika kelemahannya ringan maka ia lulus
syarat yang pertama ini, jika kelemahannya adalah berat maka ia gagal.
Di sini penulis merasa
perlu untuk membetulkan salah faham masyarakat, termasuk para da’i, penceramah,
penulis dan ilmuan yang selain daripada ahli hadis, yang berpendapat boleh
menggunakan apa jua hadis asalkan ia duduk di dalam bab keutamaan beramal
(al-Fadha‘il) dan memberi anjuran serta amaran (al-Targhib wa al-Tarhib).
Mereka tidak menyemak asal-usul hadis tersebut sama ada ia wujud atau tidak
dalam kitab-kitab hadis yang lengkap dengan sanadnya. Lebih memberatkan, mereka
tidak memberi perhatian langsung kepada darjatnya. Setiap hadis yang mereka
temui dalam bab ini disampaikan terus dalam kuliah-kuliah atau karya-karya mereka.
Ini sebenarnya
adalah kesalahan yang amat berat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang menceritakan (atau meriwayatkan) satu hadis
dan dia pandang hadis tersebut sebagai dusta, maka dia termasuk dalam salah
seorang pendusta.” [Shahih Muslim, muqaddimah] Terhadap hadis ini, al-Imam Ibn
Hibban rahimahullah (354H) menukil daripada al-Imam Abu Hatim rahimahullah:[4]
Dalam hadis ini
terdapat dalil yang membenarkan apa yang kami sebut, bahawa apabila seseorang
itu meriwayatkan sebuah hadis yang tidak sah daripada Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam, apa sahaja hadis yang disandarkan kepada baginda, padahal dia
mengetahui bahawa ia tidak sah, (maka) dia termasuk salah seorang pendusta.
Malah maksud
zahir hadis ini adalah lebih berat kerana baginda shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda: “Sesiapa yang menceritakan (atau meriwayatkan) satu hadis dan dia
pandang hadis tersebut sebagai dusta…”, baginda tidak mengatakan bahawa orang
tersebut yakin bahawa hadis tersebut adalah dusta (tetapi sekadar memandangnya
sebagai dusta). Maka setiap orang yang ragu-ragu sama ada yang diriwayatkannya
itu adalah sahih atau tidak sahih termasuk dalam zahir perbicaraan hadis ini.
Perkara yang sama
juga disebut oleh al-Imam al-Thohawi rahimahullah (321H):[5]
Sesiapa yang
menyampaikan hadis daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan
sangkaan, bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar.
(Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar bererti
dia menyampaikan hadis daripada baginda secara batil. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada
baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang
pendusta hadis. Mereka termasuk dalam sabdanya shallallahu 'alaihi wasallam:
“Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya
di dalam neraka.” Kami berlindung
daripada Allah Ta‘ala daripada yang sedemikian.
Berdasarkan syarat
yang pertama ini, hendaklah kita pastikan bahawa setiap hadis yang digunakan
untuk tujuan keutamaan beramal dan memberi anjuran serta amaran memiliki sumber
rujukannya serta dijelaskan darjatnya. Tidak boleh disampaikan sesuatu hadis
dengan sangkaan ia memiliki rujukan dan darjat yang paling rendah adalah ringan
kelemahannya kerana sangkaan seperti ini termasuk dalam kategori mendustakan
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Umpamakan hal ini
seperti seorang jurujual yang mempromosi sebuah buku. Dia menceritakan kepada
para pelanggannya bahawa buku tersebut adalah baik serta banyak maklumat yang
benar lagi besar manfaatnya. Padahal si jurujual itu sendiri pada asalnya tidak
pernah membaca buku tersebut untuk membezakan sama ada ia adalah baik atau
tidak, jauh sekali daripada mengkaji maklumat di dalamnya sama ada ia adalah
benar atau tidak. Nah, apa yang dipromosikan oleh si jurujual ini terbuka
kepada kemungkinan benar dan salah. Namun oleh kerana dia tetap membuat promosi
tanpa menerangkan hakikat yang sebenar, dia sebenarnya berdusta kepada para
pelanggannya.
Demikianlah juga
dengan seseorang yang menyampaikan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
tanpa dia sendiri mengetahui asal usul dan darjatnya. Apa yang disampaikannya
terbuka kepada kemungkinan benar atau salah. Namun apabila dia tetap
menyampaikan hadis tersebut dan menyandarkannya kepada Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam, dia juga dikira berdusta ke atas baginda. Oleh itu hendaklah kita
sentiasa peka kepada syarat yang pertama ini, sama ada kita adalah sebagai
penyampai atau penerima hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Pastikan
ia memiliki sumber rujukan dan dijelaskan darjatnya. Jika syarat yang pertama
ini tidak dipenuhi, hendaklah hadis tersebut ditinggalkan sekalipun ia memiliki
kedudukan yang masyhur di kalangan masyarakat.
TOP
Ulasan kepada syarat
kedua.
Hadis dha‘if tidak
boleh digunakan untuk menetapkan sesuatu amalan, perintah atau larangan.
Peranan hadis dha‘if tidak lain sekadar menerangkan keutamaan satu amalan yang
telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Hadis dha‘if juga
tidak boleh digunakan untuk menganjur atau melarang sesuatu perkara melainkan
perkara tersebut telah tetap hukumnya daripada al-Qur’an dan/atau hadis yang
sahih. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:[6]
Berkata (al-Imam)
Ahmad bin Hanbal, apabila datang (persoalan) halal dan haram kami
memperketatkan semakan sanad dan apabila datang (persoalan) memberi anjuran dan
amaran (al-Targhib wa al-Tarhib) kami memudahkan semakan sanad. (Ibn Taimiyyah
mengulas lanjut): Demikianlah apa yang disepakati oleh para ilmuan tentang
beramal dengan hadis dha‘if dalam keutamaan beramal. Ia tidaklah bermaksud
menetapkan hukum sunat berdasarkan hadis yang tidak boleh dijadikan hujah
dengannya (kerana ia adalah dha‘if). Ini kerana “sunat” merupakan hukum
syari‘at yang tidak boleh ditetapkan melainkan dengan dalil syari‘at juga.
Sesiapa yang mengkhabarkan daripada Allah bahawasanya Dia menyukai
(menyunatkan) sesuatu amal tanpa dalil syari‘i maka sungguh dia telah
mensyari‘atkan dalam agama apa yang tidak diizinkan Allah.
Sebagai contoh,
hadis-hadis berkenaan puasa pada bulan Rejab dan solat khusus pada malam-malam
tertentu bulan Rejab semuanya tidak ada yang sahih. Syaikh Sayid Sabiq
menegaskan:[7]
Berkenaan puasa pada
bulan Rejab, tidak ada kelebihan yang menonjol (tentang bulan Rejab) berbanding
bulan-bulan lain, kecuali bahawa ia termasuk daripada bulan-bulan haram (yakni
bulan Zulqa‘idah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab). Tidak diterima dalam sunnah
yang sahih bahawa berpuasa dalam bulan Rejab memiliki keutamaan yang khusus.
Adapun apa yang datang tentangnya (keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), ia
tidak dapat dipertanggungjawabkan sebagai hujah. Berkata (al-Hafiz) Ibn Hajar
(al-Asqalani), tidak diterima (apa-apa) hadis yang sahih yang dapat dijadikan
hujah tentang keutamaannya (bulan Rejab), mahupun tentang puasanya dan puasa
pada hari-hari tertentu daripadanya mahupun solat pada malam yang tertentu
daripadanya.
Apabila tidak wujud
hadis yang sahih yang menetapkan wujudnya “Puasa sunat Rejab” dan “Solat malam
Rejab yang ke sekian-sekian hari”, hadis-hadis yang menerangkan keutamaan
berpuasa dan bersolat pada bulan Rejab tidak memiliki apa-apa nilai. Yang lebih
penting, ia tidak boleh dijadikan dalil untuk menghukum sunat berpuasa dan
bersolat secara khusus kerana bulan Rejab.
Sebenarnya terdapat
banyak lagi amalan yang dilakukan oleh umat Islam berdasarkan hadis yang dha‘if
tanpa diperhatikan sama ada amalan tersebut terlebih dahulu telah ditetapkan
atau tidak oleh dalil al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Setakat ini
berdasarkan ulasan kepada syarat yang pertama dan kedua, hendaklah setiap orang
yang ingin beramal dengan hadis dha‘if menyemak terlebih dahulu bahawa:
1. Hadis yang ingin dijadikan sumber amalan
memiliki rujukan dalam kitab yang asal dan telah disemak bahawa ia
sekurang-kurangnya memiliki darjat kelemahan yang ringan.
2. Amalan tersebut telah ditetapkan berdasarkan
dalil al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih manakala hadis yang lulus syarat
pertama di atas tidak lain hanyalah untuk menerangkan keutamaan amalan
tersebut.
TOP
Ulasan kepada syarat
ketiga
Apabila menggunakan
hadis dha‘if yang telah memenuhi dua syarat yang pertama di atas, hendaklah
diingati bahawa tidak boleh berkeyakinan hadis tersebut adalah sabit daripada
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Berdasarkan syarat yang ketiga ini, para
ahli hadis telah menetapkan bahawa hadis yang dha‘if tidak boleh disandarkan
sebutannya kepada diri Rasulullah secara jelas tetapi perlu diisyaratkan
kelemahannya.
Misalnya, tidak boleh
berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda bahawa……”
tetapi hendaklah berkata: “Dalam kitab Mu’jam al-Kabir oleh al-Imam
al-Thabarani, terdapat sebuah hadis dha‘if yang berbunyi ……” atau apa-apa lain
yang seumpama. Al-Imam al-Nawawi menjelaskan:[8]
Berkata para ilmuan
peneliti (al-Muhaqqiqun) daripada kalangan ahli hadis dan selain mereka,
apabila sebuah hadis adalah dha‘if tidak boleh dikatakan terhadapnya “Telah
bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam …” atau “Rasulullah telah
berbuat…” atau “Rasulullah telah memerintahkan…” atau “Rasulullah telah
melarang…” atau “Rasulullah telah menghukum…” dan apa-apa lain yang
menyerupainya daripada bentuk kalimah yang menunjukkan kepastian.
Demikian juga, tidak
boleh dikatakan terhadap (hadis dha‘if tersebut) “Diriwayatkan oleh Abu
Hurairah…” atau “Berkata Abu Hurairah…” atau “Disebut oleh Abu Hurairah…” atau
“Dikhabarkan oleh Abu Hurairah…” atau “Dihadiskan oleh Abu Hurairah…” atau
“Dinukil oleh Abu Hurairah…” dan apa-apa lain yang menyerupainya. Demikian
juga, tidak boleh dikatakan yang seumpama terhadap para tabi’in dan orang-orang
sesudah mereka terhadap apa yang dha‘if. Tidak boleh berkata terhadap apa jua
riwayat yang dha‘if dengan kalimah yang menunjukkan kepastian.
Sesungguhnya yang
(boleh) dikatakan hanyalah “Diriwayatkan daripadanya…” atau “Dinukil
daripadanya…” atau “Dihikayatkan daripadanya…” atau “Didatangkan daripadanya…”
atau “Disampaikan daripadanya…” ……… dan apa yang menyerupainya daripada kalimah
yang menunjukkan kelemahan, tidak daripada kalimah yang menunjukkan kepastian.
Mereka (para ilmuan
peneliti) berkata, kalimah yang menunjukkan kepastian ditujukan untuk hadis
yang sahih atau hasan manakala kalimah yang menunjukkan kelemahan ditujukan
kepada apa yang selain daripada kedua-dua (bukan hadis sahih dan bukan hadis
hasan).
Amat penting untuk
mengisyaratkan kedha‘ifan hadis tersebut agar:
1. Orang ramai dapat mengetahui bahawa si
penyampai telah menyemak sumber dan darjat hadis tersebut,
2. Orang ramai tidak menganggapnya sebagai
sebuah hadis yang sahih,
3. Orang ramai tidak menetapkan hukum
berdasarkan hadis tersebut,
4. Seandainya wujud kemusykilan dalam maksud
hadis tersebut, ia tidak mengelirukan orang ramai kerana mereka tahu ia tidak
sahih.
Jika syarat ketiga ini
tidak diperhatikan, orang ramai tidak akan dapat membezakan antara hadis yang
sahih dan tidak sahih. Akibatnya mereka akan mengamalkan hadis tersebut sebagai
sumber hukum dan menyebarkannya kepada masyarakat dengan anggapan ia adalah
benar dan baik. Akhirnya ia akan menjadi masyhur dan sebati di dalam masyarakat
dan menganggapnya sebahagian daripada syari‘at Islam. Ini sama-sama dapat kita
perhatikan di negara kita sendiri masa kini. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani
rahimahullah mengingatkan tentang natijah buruk ini kira-kira 500 tahun yang
lalu:[9]
Sedia dikenali bahawa
para ahli ilmu mempermudahkan penerimaan hadis dalam bab keutamaan
(al-Fadha’il) sekalipun di dalamnya memiliki kelemahan selagi mana ia bukan
hadis maudhu’. Namun disyaratkan bagi orang yang mengamalkannya bahawa dia
yakin hadis tersebut adalah dha‘if dan dia tidak memasyhurkannya kerana
dibimbangi seseorang lain akan beramal dengan hadis yang dha‘if tersebut (tanpa
mengetahui ia adalah dha‘if) sehingga mensyari‘atkan apa yang tidak
disyari‘atkan atau dia meriwayatkannya kepada sebahagian orang yang jahil
sehingga disangkakan ia adalah sunnah yang sahih.
Demikianlah ulasan
kepada tiga syarat penting yang perlu diperhatikan oleh setiap orang yang ingin
menggunakan hadis dha‘if. Apabila sesebuah hadis telah lulus tiga syarat di
atas, terdapat dua perkara tambahan yang perlu diperhatikan, iaitu:
TOP
Memberi prioriti
kepada hadis sahih dan hasan
Jika di dalam sebuah
bab terdapat hadis-hadis yang sahih, hasan dan dha‘if, maka hendaklah seseorang
itu memberi prioriti kepada yang sahih dan hasan sahaja. Sebabnya:
1. Hadis yang sahih dan hasan adalah sabit
daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam manakala hadis yang dha‘if
masih terbuka kepada kemungkinan benar dan salah. Maka berpegang kepada yang
pasti adalah lebih utama daripada yang diragui.
2. Menyibukkan diri dengan hadis yang dha‘if
lazimnya akan menyebabkan hadis yang sahih dan hasan terpinggir. Ini kerana
setiap individu memiliki kemampuan yang terhad. Jika kemampuan itu dipenuhi
dengan menyibukkan diri dengan hadis dha‘if, maka hadis yang sahih dan hasan
akan tercicir daripada dirinya.
Poin kedua di atas
pernah diulas oleh al-Imam ‘Abd al-Rahman bin Mahdi rahimahullah (198H):[10]
Tidaklah wajar
seseorang itu menyibukkan dirinya dengan menulis hadis-hadis yang dha‘if kerana
kesibukannya itu akan mengakibatkan tercicirnya hadis daripada para perawi yang
thiqah (terpercaya = hadis sahih) sebanyak hadis daripada perawi lemah yang
ditulisnya.
Izinkan penulis
memberi satu contoh. Setiap tahun ketika tibanya Nisfu Sya’ban, ada di antara
kita yang berpuasa, bersolat malam, membaca surah Yasin tiga kali dengan doa
tertentu di antaranya dan pelbagai lagi. Semua amalan ini sebenarnya tidak
pernah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Hadis-hadis yang
menganjurkannya tidak ada yang sahih dan tidak boleh dijadikan dasar bagi
menetapkan sesuatu amalan. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah menukil
kata-kata al-Imam Ibn al-‘Arabi rahimahullah (543H) dalam persoalan ini:[11]
Tidak ada sebuah hadis
jua yang dipercayai kesahihannya mengenai keutamaan malam Nisfu Sya’ban. Jika
kita (hendak) menerima hadis-hadis yang menerangkan keutamaan malam Nisfu
Sya’ban dan kita hendak memperingatinya dengan amal kebajikan, maka hal ini
tidak pernah berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mahupun
daripada para sahabat radhiallahu ‘anhum dan kaum muslimin abad-abad pertama. Padahal
mereka semua termasuk umat Islam yang terbaik.
Daripada semua sumber
tersebut tidak ada riwayat yang menerangkan bahawa malam Nisfu Sya’ban
diperingati dengan berkumpul di masjid-masjid, membaca doa-doa tertentu dan
melakukan solat-solat khusus seperti yang kita saksikan di beberapa negeri kaum
muslimin. Bahkan di beberapa negeri sejumlah orang berkumpul sesudah solat
Maghrib di masjid-masjid lalu membaca surah Yasin, solat dua rakaat dengan niat
memohon panjang umur, ditambah dua rakaat lagi dengan doa dijauhkan
ketergantungan hidup daripada orang lain, kemudian mereka membaca doa panjang
lebar yang tidak berasal daripada seorang pun daripada kalangan Salaf. Doa yang
mereka baca itu pula menyalahi nas-nas (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta mengandungi
hal-hal yang saling berlawanan maksudnya.
Dalam kesibukan kita
membaca, menyebar dan mengamalkan hadis-hadis yang dha‘if berkenaan malam Nisfu
Sya’ban, kita telah keciciran sebuah hadis yang sahih mengenainya. Hadis
tersebut ialah: “Allah akan memperhatikan semua makhluk pada malam Nisfu
Sya’ban, maka Dia mengampuni semua makhluknya kecuali orang musyrik dan yang
bermusuhan (sesama sendiri).”
Hadis ini diriwayatkan
oleh al-Imam Ibn Hibban, berkata Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth hafizahullah dalam
semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut 1997) jld.
12, ms. 481, no: 5665: “Hadis sahih bi syawahid.” Hadis ini juga dihimpun oleh
al-Imam al-Munziri rahimahullah (656H) dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib
(Dar Ibnu Katsir, Damsyik 1999), jld. 2, ms. 51, no: 1517. Berkata para
penyemak: Shaikh Samir Ahmad al-‘Athar, Yusuf Ali Badiwi & Muhyiddin Dibb
Matsu: “Sahih bi syawahid.” Berkata Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa
al-Tarhib (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 2000), jld. 1, ms. 597, no: 1026: “Hasan
Sahih.”
Sama-sama kita
bertanya kepada diri kita, adakah kita mengetahui tentang hadis ini? Adakah
selama ini hadis di atas tersembunyi atau tercicir daripada pengetahuan kita
kerana selama ini kita sibuk dengan pelbagai hadis lain, yang tidak satu jua
yang sahih, berkenaan malam Nisfu Sya’ban? Lebih jauh, sudahkah kita
mengamalkan hadis ini?
Mengamalkan hadis ini
bukanlah dengan berpuasa, bersolat malam, berzikir, berdoa dan sebagainya. Akan
tetapi beramal dengannya ialah kita melayakkan diri kita supaya memperoleh
pengampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada malam Nisfu Sya’ban. Terdapat dua
syarat kelayakan, yang pertama kita lulus, alhamdulillah. Yang kedua perlu kita
pastikan bahawa kita tidak bermusuhan dengan sesiapa di kalangan umat Islam.
Jika ada, mungkin saudara, jiran, rakan kerja dan sebagainya, hendaklah kita
bermaafan dan menghubungkan semula silraturahim. Inilah cara “mengamalkan”
hadis sahih di atas berkenaan malam Nisfu Sya’ban.
TOP
Hadis dha‘if tidak boleh
dijadikan ukuran nilai sesuatu amal
Kepentingan atau
keburukan sesuatu amal tidak boleh diukur berdasarkan hadis-hadis dha‘if
sahaja. Sering kali para penulis dan penceramah begitu ghairah menyampaikan
hadis-hadis dha‘if dalam memberi anjuran dan amaran tanpa disedari bahawa
anjuran dan amaran tersebut nilainya telah dilebih-lebihkan daripada apa yang
sepatutnya. Mereka menganggap
hal ini akan memberi manfaat kepada umat tetapi yang benar adalah di
sebaliknya. Ganjaran yang dibesar-besarkan kepada amalan yang kecil akan
mengakibatkan seseorang itu meremehkan agama, dengan anggapan memadailah dia
membuat amalan yang sedikit kerana ganjarannya sudah lebih dari mencukupi.
Sedangkan amaran yang dibesar-besarkan terhadap kesalahan yang kecil akan
menyebabkan seseorang itu menjauhkan diri daripada Allah dan merasa putus asa
daripada keampunan-Nya. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menerangkan hal ini dengan
lebih lanjut:[12]
Hadis-hadis yang
memberi anjuran dan amaran (al-Targhib wa al-Tarhib), sekalipun tidak memuat
hukum halal atau haram, ia memuat sesuatu lain yang sangat penting dan
berbahaya, iaitu ia merosakkan nilai amal atau kewajiban yang telah ditentukan
oleh Pembuat syari'at Yang Maha Bijaksana.
Setiap amal yang diperintahkan ataupun dilarang memiliki “nilai”
tertentu di sisi Pembuat syari'at dalam kaitannya dengan amal-amal yang
lain. Kita tidak boleh melampaui had
yang telah ditentukan oleh Pembuat syari'at sama ada dengan menurun atau
menaikkannya.
Di antara hal
yang sangat berbahaya ialah memberi nilai sebahagian amalan lebih besar dan
banyak daripada ukurannya yang sebenar dengan membesar-besarkan pahalanya
sehingga mengalahkan amalan lain yang lebih penting dan lebih tinggi derajatnya
dalam pandangan agama. Demikian juga memberikan kepentingan kepada amalan yang
dilarang dengan membesar-besarkan seksanya sehingga mengalahkan amalan lainnya.
Membesar-besarkan
dan melebih-lebihkan janji pahala dan ancaman siksa akan mengakibatkan rosaknya
gambaran agama di mata sebahagian orang karena mereka akan menyandarkan apa
yang mereka dengar atau baca tersebut kepada agama padahal agama itu sendiri
bebas dari semua itu. Seringkali tindakan melebih-lebihkan, terutama dalam soal
ancaman, akan menimbulkan akibat yang sebaliknya dan kegoncangan jiwa. Bahkan seringkali
orang yang berlebih-lebihan itu akan menjauhkan diri mereka daripada-Nya
(kerana putus asa dan merasa tidak layak memperoleh keampunan Allah ke atas
kesalahan-kesalahan yang dilakukan)
Kita wajib
menjaga amal perbuatan sesuai dengan tingkatan-tingkatannya yang telah
digariskan oleh syari‘at tanpa terjerumus ke dalam tindakan melebih-lebihkan.
Ini hanya akan membawa kita kepada salah satu dari dua bentuk pelampauan, sama
ada yang menambah atau mengurang, sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Ali bin Abu
Thalib radhiallahu 'anh: “Kalian harus mengambil sikap pertengahan, yang
kepadanya orang tertinggal harus disusulkan dan kepadanya pula orang yang
berlebihan harus dikembalikan.
Berdasarkan tiga
syarat pengamalan hadis dha‘if dan dua perkara tambahan yang perlu
diperhatikan, sama-sama dapat diambil iktibar bahawa menggunakan hadis dha‘if
tidaklah semudah yang disangka. Hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam adalah salah satu sumber syari‘at di sisi al-Qur’an al-Karim. Maka
kita perlu berinteraksi dengannya melalui disiplin-disiplin yang telah
digariskan oleh para ahli hadis. Apa yang Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam sabdakan berkenaan agama tidak lain adalah wahyu Allah. Apabila kita
bersikap leka dalam berinteraksi dengan hadis-hadis baginda, kita bukan sahaja
mendedahkan diri kepada kemungkinan berdusta di atas nama Rasulullah tetapi
juga berdusta di atas nama Allah.
Oleh itu hendaklah
setiap individu memberi perhatian khusus dalam bab ini. Jangan menerima
sebarang hadis sekalipun yang menyampaikannya adalah orang yang masyhur di mata
masyarakat. Pastikan bahawa setiap hadis yang disampaikan mematuhi
syarat-syarat di atas. Apabila membaca buku-buku agama, pastikan setiap hadis
diberikan rujukan, lengkap dengan nombor hadis dan bab. Jangan berpuas hati
dengan catitan “Hadis riwayat al-Bukhari” atau “HR Muslim” kerana terdapat
sebahagian penulis yang berbuat demikian padahal hadis tersebut tidak wujud di
dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim.
Apabila mendengar
khutbah, kuliah, ceramah dan sebagainya, jangan segan-segan bertanya kepada
penyampainya: “Ustaz, hadis yang ustaz sebut itu siapa yang meriwayatkannya dan
apa darjatnya?” atau apa-apa lain yang seumpama. Setiap mukmin yang
bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya berhak untuk bertanya dan setiap
penyampai yang bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya tidak boleh merasa
ego untuk menjawab. Akan tetapi jika penyampai tersebut tidak ingat pada saat
itu, berilah dia tempoh untuk menyemak semula agar dia dapat menjelaskannya
pada masa yang akan datang.
Tanpa
berlebih-lebihan, penulis menganjurkan para pembaca sekalian meninggalkan
mana-mana penulis dan penyampai agama yang tidak berdisiplin dalam mengemukakan
hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kita perlu bertegas dalam
hal ini, bukan sahaja supaya amalan kita sentiasa berada di atas ukuran yang
benar tetapi supaya para penulis dan penyampai tersebut tidak mengambil mudah
perkara ini
Tidak ada komentar:
Posting Komentar