TOKO ALHAROMAIN
MENJUAL PAKAIAN JADI
D 54-D55 AND B19-B20
PASAR TANJUNG Sultan Muhammad Al-Fatih Dan Pembukaan
Istanbul 1453M
Pengenalan
Istanbul atau yang dulunya dikenali sebagai
Costantinople, adalah salah sebuah bandar nostalgia dunia. Tidak setakat tercatat
oleh tinta Sejarah Islam, bahkan statusnya sebagai salah sebuah bandar utama
dunia, pasti mengundang seisi alam manusia untuk meninjau dan menghubungkan
sejarah kegemilangan masing-masing dengannya Istanbul diasaskan pada tahun 330M
oleh Maharaja Byzantine iaitu Costantine I.
Kedudukannya yang strategik, diungkapkan oleh
Napoleon Bonapart sebagai, “…kalaulah dunia ini sebuah negara, maka
Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya!”. Costantinople
telah pun menjadi ibu negara Empayar Byzantine semenjak penubuhannya. Ini
menjadikan bandar berkenaan sebagai salah sebuah bandar terbesar dan utama
dunia.
Kedudukan Costantinople yang sedemikian rupa,
meletakkan ia di kedudukan yang istimewa apabila umat Islam memulakan agenda
pertembungan mereka dengan Empayar Byzantine. Rasulullah SAW telah pun beberapa
kali memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat Islam
seperti yang dinyatakan oleh Baginda SAW di dalam peperangan Khandak. Sabda
baginda SAW :
“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan
dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah
tenteranya”
Terdapat banyak lagi hadith lain seperti ini
dan ia menimbulkan keghairahan para khalifah dan pemimpin Islam untuk berusaha
menawan kota Costantinople berkenaan. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44H
iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA. Akan tetapi, usaha berkenaan gagal
dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang
menyertainya, syahid di pinggir kota Costantinople berkenaan. Manakala di zaman
Sulaiman bin Abdul Malik pula, Khilafah Umayah telah menyediakan pasukan
terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada tahun 98H tetapi masih
belum diizinkan oleh Allah SWT. (rujuk Al-Ibar oleh Ibnu Khaldun 3 / 70 dan
Tarikh Khalifah bin Khayyath ms. 315)
Di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah,
beberapa usaha diteruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha di
zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 190H.
Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656H, usaha
menawan Costantinople diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia
Minor (Anatolia) terutamanya Kerajaan Seljuk. Pemimpin masyhurnya, Alp Arslan
(455-465H / 1063-1072M) telah berjaya mengalahkan Maharaja Rum, Dimonos, pada
tahun 463H / 1070M. Beliau telah menangkap lalu memenjarakannya sebelum
dibebaskan dengan persetujuan untuk membayar jizyah tahunan kepada Kesultanan
Seljuk. Peristiwa ini telah meletakkan sebahagian besar Empayar Rom di bawah
pengaruh Kerajaan Islam Seljuk.
Bagaimana pun, selepas daripada merosot dan
jatuhnya Kerajaan Seljuk berkenaan, terbentuk pula beberapa kerajaan kecil di
Anatolia. Antaranya ialah kerajaan Seljuk Rum yang telah berjaya meluaskan
kekuasaannya sehingga ke pantai Laut Ege di barat, seterusnya melemahkan
pengaruh dan kekuasaan Empayar Rom.
Costantinople Dan Daulah Othmaniyyah
Di awal kurun ke-8 hijrah / 14M, Daulah
Othmaniyyah telah mengadakan persepakatan bersama Seljuk Rum yang ketika itu
berpusat di bandar Konya. Persepakatan ini memberikan nafas baru kepada usaha umat
Islam untuk menawan Costantinople. Usaha awal yang dibuat ialah di zaman Sultan
Yildrim Beyazid yang mana beliau telah berjaya mengepung kota itu pada tahun
796H / 1393M. Peluang yang ada telah digunakan oleh Sultan Beyazid untuk
memaksa Maharaja Byzantine menyerahkan Costantinople secara aman kepada umat
Islam. Akan tetapi, usahanya itu menemui kegagalan dengan kedatangan bantuan
Eropah dan dalam masa yang sama, tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank
telah menyerang Daulah Othmaniyyah. Serangan itu dikenali sebagai Perang Ankara
dan ini telah memaksa Sultan Beyazid untuk menarik balik tenteranya bagi
mempertahankan negara dari serangan Mongol. Dalam peperangan itu, beliau telah
ditawan dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1402M. Kejadian itu telah
menyebabkan idea untuk menawan Costantinople terhenti untuk beberapa ketika.
Selepas Daulah Othmaniyyah mencapai ke
peringkat yang lebih maju dan tersusun, roh jihad telah hidup semua dengan
nafas baru. Semangat dan kesungguhan yang ada itu telah mendorong Sultan Murad
II (824-863H / 1421-1451M) untuk meneruskan usaha menawan Costantinople.
Beberapa usaha telah berjaya dibuat untuk mengepung kota itu tetapi dalam masa
yang sama berlaku pengkhianatan di pihak umat Islam. Mahajara Byzantine telah
mengambil peluang ini untuk menabur fitnah dan mengucar-kacirkan saf tentera
Islam. Usaha Sultan Murad II itu tidak berjaya sampai ke sasarannya sehinggalah
di zaman anak beliau, Sultan Muhammad Al-Fatih, sultan ke-7 Daulah Othmaniyyah.
Semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fatih telah
meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Costantinople. Bahkan beliau terus
mengkaji tentang usaha-usaha yang pernah dibuat sepanjang sejarah Islam ke arah
itu, sehingga menimbulkan keazaman yang kuat untuk beliau meneruskan cita-cita
umat Islam zaman berzaman itu. Ketika menaiki takhta pada tahun 855H / 1451M,
beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan..
Kekuatan Sultan Muhammad Al-Fatih banyak
terletak pada ketinggian peribadinya. Semenjak kecil, beliau telah ditarbiah
secara intensif oleh para ulamak terulung di zamannya. Di zaman ayahnya, iaitu
Sultan Murad II, Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani telah menjadi murabbi
Amir Muhammad (Al-Fatih). Ketika itu, Amir Muhammad adalah ketua bagi kawasan
Manisa. Sultan Murad II telah menghantar beberapa orang ulamak untuk mengajar
anaknya sebelum itu, tetapi tidak diendahkan oleh Amir Muhammad. Lalu, beliau
menghantar Asy-Syeikh Al-Kurani dan memberikan kuasa kepadanya untuk memukul
Amir Muhammad jika beliau membantah tunjuk ajar gurunya. Apabila beliau menemui
Amir Muhammad dan menjelaskan tentang hak yang diberikan oleh baginda Sultan,
Amir Muhammad ketawa lalu dipukul oleh Asy-Syeikh Al-Kurani dengan begitu kuat
sekali. Peristiwa ini telah menimbulkan kesan yang mendalam pada diri Amir
Muhammad lantas selepas itu beliau terus menghafal Al-Quran dalam masa yang
singkat
Tarbiah yang diberikan oleh para ulamak
murabbi itu memberikan pengaruh yang besar, bukan hanya kepada peribadi Sultan,
bahkan kepada corak pemerintahan dan adat resam Daulah Othmaniyyah itu sendiri.
Sekiranya Sultan melakukan kesilapan, murabbinya itu akan menegur. Sultan juga
dipanggilnya dengan nama dan apabila bersalam, Sultan yang akan mencium tangan
ulamak yang menjadi murabbinya itu.Dengan tarbiah yang teliti dan penuh
terhormat seperti ini, tidak hairanlah jika peribadi-peribadi yang unggul
seperti Muhammad Al-Fatih lahir menempa nama di persada sejarah..
Asy-Syeikh Ak Semsettin
Dalam masa yang sama Asy-Syeikh Ak Samsettin
(Syamsuddin) merupakan murabbi Sultan Muhammad Al-Fatih yang hakiki. Namanya
yang sebenar ialah Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi Ar-Rumi yang mana nasabnya
sampai kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Beliau mengajar Amir Muhammad
ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur'an, Al-Hadith, Feqah, Linguistik (Arab, Parsi dan
Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah,
Ilmu Peperangan dan sebagainya.
Semenjak kecil, Syeikh Ak Semsettin berjaya
meyakinkan Amir Muhammad bahawa beliau adalah orang yang dimaksudkan oleh
Rasulullah SAW di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan. Apabila
beliau menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Ak Semsettin bagi
menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople, demi merealisasikan hadith
Rasulullah SAW berkenaan. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54
hari.
Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi
Syeikh Ak Semsettin. Beliau mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan
Muhammad Al-Fatih dan ini sangat jelas dinyatakan oleh beliau ketika pembukaan
Istanbul, "...sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali.
Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini,
akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah
pendidikku, Asy-Syeikh Ak Semsettin."
Persediaan Ke Arah Penawanan
Sultan Muhammad Al-Fatih telah membuat
persediaan yang besar ke arah mencapai matlamatnya menawan Costantinople.
Beliau telah menyediakan mujahid seramai kira-kira 250,000 dan ini merupakan
angka yang begitu besar jika dibandingkan dengan tentera negara lain di zaman
itu. Para mujahid berkenaan diberikan latihan intensif dan sentiasa
diperingatkan dengan pujian Rasulullah SAW kepada tentera yang akan menawan
Costantinople itu nanti
Beliau telah membina Kota Rumeli (Rumeli
Hisari) di tebing Eropah Selat Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara
tebing Asia dan Eropah. Kota yang berhadapan dengan kota binaan Sultan Beyazid
di sebelah tebing Asia ini, mempunyai peranan yang besar dalam usaha mengawal
lalu lintas di selat tersebut. Maharaja Byzantine telah berusaha gigih untuk
menghalang Sultan Muhammad Al-Fatih daripada membina kota berkenaan tetapi
gagal menghalangnya.
Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk
mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah menapatkan khidmat pakar
membina meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam
Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang
terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga
tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal
laut untuk tujuan yang sama.
Sebelum serangan dibuat, Sultan Muhammad
Al-Fatih telah mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh yang lain. Ini merupakan
strategi yang penting supaya seluruh tenaga dapat ditumpukan kepada musuh yang
satu tanpa ada sebarang ancaman yang berada di luar jangkaan. Antaranya ialah
perjanjian yang dibuat dengan kerajaan Galata yang berjiran dengan Byzantine.
Perkembangan ini sangat membimbangkan Maharaja Byzantine lantas pelbagai cubaan
dibuat untuk menawan hati Sultan Muhammad Al-Fatih supaya membatalkan
hasratnya. Hadiah dan rasuh cuba dibuat untuk tujuan berkenaan. Akan tetapi
semuanya menemui kegagalan.
Keazaman yang begitu kuat pada diri Sultan
Muhammad Al-Fatih telah mendorong Maharaja Byzantine berusaha mendapatkan
pertolongan daripada negara-negara Eropah. Tanpa segan silu, beliau memohon
pertolongan dari kepimpinan gereja Katholik, sedangkan ketika itu semua gereja di
Costantinople bermazhab Orthodoks. Atas dasar bermuka-muka demi mengekalkan
kuasanya, Maharaja Byzantine telah mengaku bersetuju untuk menukar mazhab di
Costantinople demi menyatukan kedua-dua aliran yang saling bermusuh itu. Wakil
telah dihantar dari Eropah ke Costantinople untuk tujuan berkenaan. Beliau
telah berkhutbah di Gereja Aya Sofya menyatakan ketundukan Byzantine kepada
Katholik. Akan tetapi hal ini telah menimbulkan kemarahan penduduk
Costantinople yang bermazhab Orthodoks. Sehinggakan ada di antara pemimpin
Orthodoks berkata, "sesungguhnya aku lebih rela melihat di bumi Byzantine
ini serban para orang Turki (muslim) daripada aku melihat topi
Latin!"Situasi ini telah mencetuskan pemberotakan rakyat terhadap
keputusan maharaja yang dianggap khianat.
Serangan
Costantinople mempunyai keistimewaannya yang
tersendiri dari aspek geografi. Ia dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru
iaitu Selat Bhosphore, Laut Marmara Dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn)
yang dihalang pintu masuknya oleh rantai besi raksasa. Ia berfungsi menghalang
kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Costantinople.
Selepas melalui proses persiapan yang teliti,
akhirnya Sultan Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Costantinople pada
hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera
yang menjangkau jumpa 250 ribu, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah
mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan memuliakan niat
dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT dsb. Beliau juga membacakan
ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW tentang pembukaan kota
Costantinople. Ini semua memberikan kesan semangat yang tinggi dan jitu pada
bala tentera itu lantas mereka menyambutnya dengan zikir, pujian dan doa kepada
Allah SWT. Kehadiran para ulamak di tengah-tengah saf para mujahid itu juga
menebalkan lagi keazaman mereka untuk menunaikan kewajipan jihad tersebut.
Keesokan harinya, Sultan Muhammad Al-Fatih
telah menyusun dan membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan. Pertamanya
adalah kumpulan utama yang bertugas mengawal kota yang mengelilingi
Costantinople. Di belakang kumpulan utama itu adalah tentera simpanan yang
bertugas menyokong tentera utama di hadapan. Meriam Diraja telah dihalakan ke
pintu Topkapi. Pasukan pengawal juga diletakkan di beberapa kawasan strategik
seperti kawasan-kawasan bukit di sekitar Kota Byzantine itu. Kapal-kapal laut
Othmaniyyah juga diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi
Costantinople. Akan tetapi kapal-kapal berkenaan tidak berjaya memasuki perairan
Tanjung Emas disebabkan oleh kehadiran rantai raksasa yang mengawal pintu
masuk.
Semenjak hari pertama serangan, tentera
Byzantine telah berusaha keras menghalang tentera Othmaniyyah daripada merapati
pintu-pintu masuk kota mereka. Tetapi serangan strategik tentera Islam telah
berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari
pelbagai sudut. Bunyi meriam itu telah menimbulkan rasa takut yang amat sangat
kepada penduduk Costantinople sehingga menjejaskan semangat mereka untuk bertahan.
Tentera Laut Othmaniyyah telah mencuba
beberapa kali untuk melepasi rantai besi di pintu masuk Tanjung Emas. Dalam
masa yang sama, panahan diarahkan kepada kapal-kapal Byzantine danEropah yang
tiba untuk membantu. Walau bagaimana pun usaha ini tidak berjaya, dan ini
memberikan semacam semangat di awalnya kepada penduduk Costantinople. Para
paderi berjalan di lorong-lorong kota, mengingatkan penduduk supaya
membanyakkan sabar serta terus berdoa kepada Jesus dan Maryam supaya
menyelamatkan Costantinople. Maharaja Byzantine juga berulang-alik ke Gereja
Aya Sofya untuk tujuan yang sama.
Perjanjian Al-Fatih Dengan Maharaja Costantine
Maharaja Costantine mencuba sedaya upayanya
untuk menundukkan Al-Fatih. Pelbagai hadiah dan tawaran dikemukakan demi untuk
menyelamatkan kedudukannya itu. Akan tetapi Al-Fatih tidak menerima kesemua
tawaran itu sebaliknya memberi kata putus supaya Costantinople diserahkan
kepada Daulah Othmaniyyah secara aman. Al-Fatih berjanji, jika Costantinople
diserahkan secara aman, tiada seorang pun yang akan diapa-apakan bahkan tiada
gereja dan harta benda penduduk Costantinople yang akan dimusnahkan. Antara isi
kandungan risalahnya itu, "... serahkan empayar kamu, kota Costantinople.
Aku bersumpah bahawa tenteraku tidak akan mengancam sesiapa sama ada nyawa,
harta dan kehormatannya. Mereka yang mahu terus tinggal dan hidup dengan amat
sejahtera di Costantinople, bebas berbuat demikian. Dan sesiapa yang mahu
meninggalkan kota ini dengan aman sejahtera juga dipersilakan".
Walaupun begitu, kepungan tentera Al-Fatih
masih belum sempurna disebabkan oleh rantai besi yang melindungi pintu masuk
Tanjung Emas itu. Dalam pada itu, para mujahid tetap terus melancarkan serangan
demi serangan dan pada 18 April 1453M, pasukan penyerang Othmaniyyah telah
berjaya memecah tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di sebelah barat
kota. Tentera Byzantine telah berusaha sedaya upayanya untuk mempertahankan
kota dari serangan itu. Pertempuran sengit berlaku bersama iringan hujan anak
panah yang amat dahsyat.
Pada hari yang sama, beberapa buah kapal laut
Othmaniyyah telah cuba merempuh rantai besi di Tanjung Emas. Akan tetapi,
gabungan tentera laut Byzantine dan Eropah telah berjaya menangkis serangan itu
bahkan beberapa buah kapal laut Othmaniyyah telah musnah menyebabkan yang lain
terpaksa pulang ke kawasan masing-masing untuk mengelakkan kemusnahan yang
berterusan.
Dua hari selepas serangan itu, berlaku sekali
lagi serangan laut antara kedua belah pihak. Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri
mengawasi misi berkenaan dari pantai. Beliau telah menghantar utusan kepada
tentera laut yang sedang berperang. Katanya, ".. sama ada kamu tawan
kapal-kapal itu atau pun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu
gagal, maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!".
Ketika itu juga, Sultan Muhammad Al-Fatih
menunggang kudanya sehingga ke gigi laut sambil menjerit dengan sekuat hati
nama ketua misi berkenaan, Palta Oglu, untuk memberikan semangat. Kesungguhan
Al-Fatih itu, menaikkan semangat tenteranya. Namun, tentera kristian berjaya
juga mematahkan serangan mujahidin walaupun mereka bersungguh- sungguh
melancarkan serangan demi serangan. Kegagalan tersebut menyebabkan Sultan
Muhammad Al-Fatih menjadi begitu marah lalu memecat Palta Oglu dan digantikan
dengan Hamzah Pasha.
Kegagalan serangan tersebut telah memberikan
kesan yang besar kepada tentera Othmaniyyah. Khalil Pasha yang merupakan wazir
ketika itu cuba untuk memujuk Al-Fatih supaya membatalkan serangan serta
menerima sahaja perjanjian penduduk Costantinople untuk tunduk kepada Daulah
Othmaniyyah tanpa menakluknya. Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh
Al-Fatih. Kini tiba masanya beliau berfikir tentang helah untuk tentera laut
Othmaniyyah berjaya membolos Tanjung Emas...
Keajaiban Tentera Othmaniyyah
Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu
kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah
yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk
melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka
supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan
darat! Malam itu juga, tentera Othmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar
biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui
bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Sesungguhnya kejadian
ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini.
Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople
dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas.
Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya
pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat
bantuan jin dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi
menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, "Tidaklah
kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih
telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan
bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini
telah mengatasi Alexander The Great!"
Costantine telah bermesyuarat dengan para
pemimpin kerajaan Byzantine tentang strategi seterusnya, tetapi mereka gagal
mencapai kata sepakat. Costantine menolak cadangan supaya beliau sendiri pergi
mendapatkan pertolongan daripada umat kristian di Eropah bahkan tetap dengan
keputusannya untuk mempertahankan Costantinople hingga ke titisan darah yang
terakhir.
Serangan Besar-besaran Mujahidin
Dengan kedudukan tentera Othmaniyyah yang
sudah semakin mantap, Sultan Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan
besar-besaran ke benteng terakhir Byzantine. Tembakan meriam yang telah
memusnahkan sebuah kapal dagang di Tanjung Emas, menyebabkan tentera Eropah
yang lain lari ketakutan. Mereka telah meninggalkan pertempuran melalui kota
Galata. Semenjak kejayaan kapal mujahiden memasuki perairan Tanjung Emas,
serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti.
Laungan takbir "Allahu Akbar, Allahu
Akbar!" yang mengisi ruang angkasa Costantinople telah memberikan semacam
serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan
petir, semangat mereka terus luntur dengan ancaman demi ancaman kalimah tauhid
tentera Al-Fatih itu. Dalam masa yang sama, Al-Fatih dan tenteranya sentiasa
mengejutkan mereka dengan seni perang yang baru sehingga menggawatkan
pertahanan tentera salib itu.
Ketika ribut yang ada belum reda, penduduk
Costantinople menyedari bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk
masuk ke pusat kota. Ketakutan melanda penduduk sehingga mereka curiga dengan
bunyi tapak kaki sendiri. Merasakan yang bila-bila masa sahaja tentera 'Turki'
akan keluar dari perut bumi berikutan dengan pembinaan terowong itu.
Usaha Damai Terakhir
Sultan Muhammad Al-Fatih yakin bahawa kemenangan
semakin hampir. Kecintaannya kepada Costantinople yang dijanjikan oleh
Rasulullah SAW, mendorong beliau untuk terus berusaha agar Costantine menyerah
kalah tanpa terus membiarkan kota itu musnah. Sekali lagi beliau menghantar
utusan meminta Costantine supaya menyerahkan Costantinople secara aman. Apabila
utusan berkenaan sampai kepadanya, Costantine telah berbincang dengan para
menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah kalah dan ada pula
yang mahukan pertahanan diteruskan hingga ke penamat. Costantine akhirnya
bersetuju dengan pandangan kedua lantas menghantar maklum balas dengan katanya,
"... syukur kepada Tuhan kerana Sultan mahukan keamanan dan bersedia
menerima pembayaran jizyah. Akan tetapi Costantine bersumpah untuk terus bertahan
hingga ke akhir hayatnya demi takhta... atau mati sahaja dan dikuburkan di kota
ini!". Apabila jawapan Costantine ini diterima, Al-Fatih menjawab,
"Baiklah... tidak lama lagi akan terhasil bagiku di Costantinople itu sama
ada takhta atau keranda...!".
Perbincangan dilakukan oleh Al-Fatih tentang
strategi seterusnya. Pelbagai kemungkinan dipertimbangkan dan akhirnya
keputusan dibuat untuk meneruskan rancangan menawan Costantinople sebagaimana
yang telah disusun.
Hari Kemenangan
Pada 27 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih
bersama tenteranya telah berusaha keras membersihkan diri di hadapan Allah SWT.
Mereka membanyakkan solat, doa dan zikir dengan harapan Allah SWT akan
memudahkan kemenangan. Para ulamak pula memeriksa barisan tentera sambil
memberi semangat kepada para mujahidin. Mereka diperingatkan tentang kelebihan
jihad dan syahid serta kemuliaan para syuhada' terdahulu khususnya Abu Ayyub
Al-Ansari RA. "...sesungguhnya apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah
ketika kemenangan hijrah, baginda SAW telah pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari.
Sesungguhnya Abu Ayyub telah pun datang (ke Costantinople) dan berada di
sini!" Kata-kata ini telah membakar semangat tentera Al-Fatih hingga ke
kemuncaknya.
Dalam masa yang sama, penduduk Costantine
melakukan upacara peribadatan secara bersungguh-sungguh dengan harapan Tuhan
akan membantu mereka...
Tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal
857H / 29 Mei 1453M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan
supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Penduduk
Costantinople telah berada di kemuncak ketakutan mereka pagi itu. Mujahidin
yang sememangnya menginginkan syahid, begitu berani menyerbu tentera salib di
kota itu.
Tentera Othmaniyyah akhirnya berjaya menembusi
kota Costantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera
Daulah Othmaniyyah di puncak kota. Costantine yang melihat kejadian itu berasa
putus asa untuk bertahan lantas menanggalkan pakaian maharajanya supaya tidak
dikenali musuh. Akhirnya beliau menemui ajal dalam keadaan yang amat
mengaibkan.
Berita kematian Costantine telah menaikkan
lagi semangat tentera Islam untuk menyerang. Begitu juga sebaliknya, bagaikan
pokok tercabut akar, tentera salib menjadi kucar kacir apabila berita kematian
maharajanya tersebar. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan
tentera Al-Fatih, akhirnya berjaya sampai ke cita-cita mereka. Kejayaan
menguasai Costantinople telah disambut dengan penuh rasa syukur oleh Al-Fatih
serta... seisi langit dan bumi. Beliau bertitah, ".. Alhamdulillah, semoga
Allah merahmati para syuhada', memberikan kemuliaan kepada mujahidin, serta
kebanggaan dan syukur buat rakyatku"
Sebaik-baik Ketua Dan Tentera
Pada hari itu, majoriti penduduk Costantinople
bersembunyi di gereja-gereja sekitar kota. Sultan Muhammad Al-Fatih berpesan
kepada tenteranya supaya bermuamalah dengan baik kepada penduduk Costantinople
sambil mengucapkan tahniah kepada tenteranya yang berjaya merealisasikan sabda
Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan
dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah
tenteranya”
Dengan penuh rasa syukur dan tawadhu, Sultan
Muhammad Al-Fatih telah sujud ke bumi mengucapkan sebesar-besar syukur ke
hadrat Allah atas kemenangan bersejarah itu.
Beliau kemudiannya menuju ke Gereja Aya Sofya
yang ketika itu menjadi tempat perlindungan sejumlah besar penduduk kota
berkenaan. Ketakutan jelas terbayang di wajah masing-masing bilamana beliau
menghampiri pintu. Salah seorang paderi telah membuka pintu gereja, dan
Al-Fatih meminta beliau supaya menenangkan sekalian mereka yang ada. Dengan
toleransi Al-Fatih, ramai yang keluar dari tempat persembunyian masing-masing
bahkan ada di kalangan paderi yang terus menyatakan keislaman mereka.
Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah
mengarahkan supaya gereja berkenaan ditukar menjadi masjid supaya Jumaat
pertama nanti akan dikerjakan solat di masjid ini. Para pekerja bertugas
bertungkus lumus menanggalkan salib, patung dan gambar-gambar untuk tujuan
berkenaan. Pada hari Jumaat itu, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama para muslimin
telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Aya Sofya. Khutbah yang pertama di Aya
Sofya itu telah disampaikan oleh Asy-Syeikh Ak Semsettin. Pada hari itu juga
Sultan Muhammad Al-Fatih telah bersumpah bahawa barangsiapa yang menukar Masjid
Aya Sofya kembali kepada gereja, maka akan berolehlah kutukan dan laknat
darinya dan Tuhan Masjid Aya Sofya itu.
Nama Costantinople kemudiannya ditukar kepada
"Islam Bol", yang bermaksud "Bandar Islam" dan kemudiannya
dijadikan sebagai ibu negara ketiga Khilafah Othmaniyyah selepas Bursa dan
Edirne . Kekallah bumi yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, ketamadunan,
keilmuan dan keagungan Islam berkurun lamanya.. sehinggalah Khilafah Othmaniyyah
ditamatkan sejarahnya oleh Mustafa Kemal Ataturk secara rasminya pada tahun
1924M.
Aya Sofya kembali dikristiankan oleh Ataturk
atas nama muzium. Gambar- gambar syirik kembali bertempelan di kubah masjid
yang berdukacita itu. Manifesto Parti Refah pada pilihanraya yang lalu untuk
mengembalikan Masjid Aya Sofya ke kegemilangan sejarahnya, berkubur buat
sementara dengan pengharaman parti itu beberapa tahun yang lalu. Sesungguhnya
seluruh umat Islam merindukan suara azan membesarkan Allah kembali berkumandang
di menara Aya Sofya. Semoga Istanbul kembali ke pangkuan Islam dan muslimin.
Amien ya Rabbal 'Alamin....
Tidak ada komentar:
Posting Komentar